JAUTEH (tengah) menyaksikan Mohd Zaidi (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada kasim sebagai simbolik penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di Dewan Serbaguna IPD Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
JAUTEH (tengah) menyaksikan Mohd Zaidi (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada kasim sebagai simbolik penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di Dewan Serbaguna IPD Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Polis masih menunggu laporan forensik berhubung isi kandungan telefon bimbit milik anak perempuan Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu, yang maut tertembak diri sendiri dalam kejadian 16 April lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihak polis sebelum ini sudah menghantar telefon bimbit berkenaan Pasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah untuk disiasat.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, pihak polis masih belum menerima sebarang keputusan berhubung maklumat telefon bimbit milik mangsa.

"Kita masih meneruskan siasatan termasuk menunggu laporan forensik bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan telefon berkenaan.

"Kita ingin mendapatkan apa kandungan di dalam telefon bimbit mangsa. Telefon bimbit berkenaan ada kata laluan dan kita menghantar kepada pihak forensik untuk memastikan tiada masalah teknikal berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Majlis Serah Tugas berkenaan dijalankan antara Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah yang bersara wajib kepada bekas Ketua Polis Daerah Beluran, Asisten Komisioner Kasim Muda.

Jauteh berkata, bapa mangsa ketika ini masih menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah Lahad Datu seperti biasa.

Terdahulu, dalam kejadian 16 April lalu, mangsa yang berusia 14 tahun ditemui berlumuran darah di dalam bilik di rumahnya di Taman Tabanak, Lahad Datu.

Siasatan polis kemudiannya mendapati, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan terkena tembakan di bahagian dada kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 3:16 PM