Nazdy Harun


Kuala Nerus: "Syukur kepada Allah SWT kerana hari ini bukan saja saya dan Nur Izzatul Nabilah (Ghazali, 22) bergelar graduan, malah lebih manis kami kini sudah menjadi suami isteri," kata Ameerul Hakim Muzi, 27, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurutnya, hari ini adalah detik bersejarah buat dirinya dan isteri kerana selamat diijab kabul kira-kira 10.30 pagi tadi, manakala mereka menerima ijazah di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-13 pada 3 petang.

Menceritakan lebih lanjut, Ameerul berkata, dia mengenali isterinya di tempat kerjanya di sebuah klinik swasta di Kuala Terengganu sejak lapan bulan lalu.

"Kali pertama memandang Izzatul, hati sudah tertarik dan masa itu saya tidak tahu isteri adalah 'junior' di UniSZA.

"Selepas berkenalan, baru saya tahu isteri juga belajar di universiti dan jurusan yang sama," katanya yang berasal dari Kampung Seberang Takir, di sini.

AMEERUL Hakim bersama isterinya, Nur Izzatul Nabilah lengkap berpakaian pengantin bergambar kenangan ketika Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA  ke-13. FOTO Ghazali Kori
AMEERUL Hakim bersama isterinya, Nur Izzatul Nabilah lengkap berpakaian pengantin bergambar kenangan ketika Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-13. FOTO Ghazali Kori

Menurutnya, dia tidak menyangka hari bersejarahnya akan berlaku serentak dan seperti tidak percaya akan melalui dua perkara besar dalam tempoh empat jam.

Katanya, tidak salah baginya memilih untuk memperagakan busana pengantin ketika istiadat konvokesyennya memandangkan hari ini adalah hari perkahwinannya juga.

"Ibarat pepatah 'kalau dah jodoh, takkan ke mana'. Walaupun di kampus mereka tidak mengenali, jodoh tetap menemukan mereka ketika di tempat kerja.

"Saya bersyukur kerana segala urusan berjalan dengan lancar dan majlis perkahwinan kami diadakan serentak di sebuah hotel di Kuala Terengganu," katanya.

AMEERUL Hakim bersama isterinya, Nur Izzatul Nabilah ketika majlis pernikahan. FOTO Ihsan Ameerul Hakim Muzi
AMEERUL Hakim bersama isterinya, Nur Izzatul Nabilah ketika majlis pernikahan. FOTO Ihsan Ameerul Hakim Muzi

Sementara itu, Izzatul berkata, selepas tiga bulan mengenali suaminya, dia kemudian mendapat tawaran bertugas di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang.

"Saya pun tidak sangka suami yang saya kenal adalah 'senior' di UniSZA, namun bersyukur dengan ketentuan Ilahi yang mengatur perjalanan hidup kami ini.

"Buat masa ini, kami perlu berjauhan kerana suami di Terengganu manakala saya di Kuantan. Namun, jarak bukanlah jauh untuk kami bertemu," katanya yang berasal dari Kampung Padang Polis, Batu Rakit, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 5:13 PM