LELAKI Palestin berjalan melepasi bangunan yang musnah di Rafah. FOTO AFP
LELAKI Palestin berjalan melepasi bangunan yang musnah di Rafah. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Hamas mempertimbangkan tawaran Israel untuk melaksanakan gencatan senjata selama 40 hari pada Selasa dalam perang di Semenanjung Gaza sebagai pertukaran untuk pembebasan puluhan tebusan yang ditahan sejak serangan kumpulan pejuang Palestin pada 7 Oktober lalu.

Delegasi Hamas yang kembali ke Qatar selepas rundingan terbaharu di Kaherah berkata, pihaknya akan membincangkan idea dan cadangan itu.

"Kami berminat untuk bertindak balas secepat mungkin," kata sumber Hamas kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan.

Sumber Mesir memberitahu Al-Qahera News, sebuah laman web yang dikaitkan dengan perkhidmatan perisikan Mesir, delegasi Hamas akan kembali dengan jawapan bertulis.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menyifatkan syarat gencatan senjata itu sebagai luar biasa.

Rumah Putih meminta rakan pengantara Mesir dan Qatar meningkatkan tekanan ke atas Hamas supaya menerima desakan terbaru untuk menghentikan perang yang sudah hampir tujuh bulan itu.

Presiden AS Joe Biden menggesa pemimpin Mesir dan Qatar untuk mengerahkan segala usaha bagi mendapatkan pembebasan tebusan yang dipegang oleh Hamas dengan menyebut ia satu-satunya halangan mendapatkan bantuan bagi orang awam di kawasan yang dikepung.

Selama berbulan-bulan, Mesir, Qatar dan AS cuba mendapatkan perjanjian baharu antara pejuang.

Gencatan senjata selama seminggu pada November menyaksikan 80 tebusan Israel ditukar dengan 240 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Pengeboman Israel tanpa henti sementara itu memusnahkan Gaza yang dikendalikan Hamas, meratakan sebahagian besar wilayah itu dan membawa rakyatnya ke ambang kebuluran, sambil mengancam untuk mencetuskan konflik serantau yang lebih luas.

Israel berikrar untuk menghapuskan batalion Hamas di Rafah, di mana majoriti 2.4 juta penduduk Gaza kini berlindung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 3:56 PM