PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO AZIAH AZMEE
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO AZIAH AZMEE
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ranking skuad kebangsaan dalam keadaan 'yoyo' bukanlah sesuatu yang menghairankan dalam misi untuk terus memburu kedudukan lebih baik dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan kedudukan ranking skuad negara akan sentiasa berubah memandangkan ia dinilai berdasarkan prestasi semasa dan keputusan perlawanan diharungi skuad Harimau Malaya.

Malah, Hamidin turut mengingatkan betapa Malaysia pernah menjadi antara pasukan yang mencatat lonjakan tertinggi dan kenaikan mendadak dalam ranking Fifa sebelum ini khususnya melonjak ke tangga ke-130 dunia, November lalu.

"Apabila kita menang dengan India dan Krygyzstan, kita nak menang dengan Oman dengan Jordan, tetapi tak realistik untuk kita berada sekarang.

"Kita ada peningkatan dalam peralihan ranking, tetapi sudah tentu ada pengubahsuaian.

"Kita ada kalah, kita ada menang, takkan boleh turun. Sekarang Indonesia berada pada tahap terbaik dan di tahap kemuncak tetapi tiga bulan lalu, Fifa puji kita sebagai antara pasukan yang mencatat kenaikan banyak dalam ranking Fifa.

"Kadang-kadang kita mudah lupa apabila menang, terus nak masuk Piala Dunia. Jadi siapa pun yang pegang (FAM), harus ada panduan dan perancangan, bukan boleh menang sahaja.

"Pasukan kebangsaan pun masih ada peluang untuk mencatat sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia, 18 pasukan terbaik yang tidak pernah kita capai kalau berjaya tewaskan Kyrgyzstan dan Taiwan," katanya.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Kim Pan-gon menuju ke Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu dengan motivasi tinggi apabila berada pada tangga ke-130 dunia.

Namun, prestasi kurang memberangsangkan apabila tewas dua perlawanan awal dan seri 3-3 dengan Korea Selatan menyaksikan ranking jatuh ke tangga ke-132 dunia.

Malang terus menimpa skuad negara apabila jatuh enam anak tangga lagi untuk berada pada kedudukan ke-138 selepas tewas dua kali di tangan Oman pada Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, bulan lalu.

Ini membolehkan seteru tradisi rantau Asean, Indonesia memintas Malaysia dalam kedudukan ranking Fifa selepas enam tahun apabila skuad Garuda itu berada di tangga ke-134 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 3:55 PM