Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi antara 3,214 graduan majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke -14 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.

Muhammad Khalil yang juga anak kepada kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerima doktor falsafah (PhD) berkata, dia sangat bersyukur apabila berjaya menamatkan pengajiannya.

"Sebenarnya saya mendaftar pada 2015 dan kemudiannya menangguhkan pengajian selama dua tahun kerana kekangan masa selepas dilantik menjadi Ketua Pemuda Pas Malaysia.

"Selepas itu, saya menyambung semula dan penantian selama tujuh tahun untuk memperoleh PhD akhirnya termakbul dengan izin Allah hari ini," katanya yang ditemui selepas majlis itu.

Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke -14 UniSZA disempurnakan Sultanah Terengganu merangkap Canselor UniSZA, Sultanah Nur Zahirah di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, di sini, hari ini.

Turut berkenan berangkat pada majlis itu Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Muhammad Khalil berkata, sokongan dan dorongan kuat dari kedua ibu bapa dan isteri menjadi pemangkin diatas kejayaan menamatkan pengajian dalam bidang PhD ini.

Menurutnya, cabaran paling besar untuk menamatkan pengajian PhD adalah disiplin, konsisten dan mengurus masa dengan bijak.

"Malah, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak memberi tuah kerana ketika itulah saya memberi fokus siang dan malam kepada pengajian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 3:28 PM
Muhammad Khalil (tengah) bersama ibu Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah (kiri) dan isteri Dr Farhaana Husainy Hasbullah selepas menerima Ijazah Doktor Falsafah pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-14 di UniSZA Kampus Gong Badak hari ini. FOTO BERNAMA
Muhammad Khalil (tengah) bersama ibu Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah (kiri) dan isteri Dr Farhaana Husainy Hasbullah selepas menerima Ijazah Doktor Falsafah pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-14 di UniSZA Kampus Gong Badak hari ini. FOTO BERNAMA