Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Kegembiraan graduan yang menunggu giliran untuk menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa bertukar duka apabila menerima berita kematian bapanya, pagi tadi.

Khabar sedih berkenaan diterima Haslina Kalang, 23, yang berasal dari Tawau, Sabah kira-kira 15 minit sebelum menaiki pentas di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-15 (sidang ketiga), di sini.

Suasana pilu turut menyelubungi di dalam dewan apabila Haslina dipeluk Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, Prof Madya Dr Syarilla Iryani Ahmad Saany di depan Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Mohd Yusof Noor.

Haslina berkata, dia ada menghubungi ibunya, Kurniati Iskandar, 48, untuk bertanya keadaan bapanya, Kalang Tona, 56, sebelum itu, namun tidak dapat bercakap kerana bapanya sedang mandi.

"Sebelum masuk dewan, saya ada hubungi ibu kerana mahu bercakap dengan ayah, tetapi ibu memberitahu ayah sedang mandi.

"Bagaimanapun, ketika berada dalam dewan dan kira-kira 15 minit giliran naik ke pentas, saya menerima panggilan daripada jiran memaklumkan bapa sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui, di sini.

HASLINA Kalang (dua kanan) kelihatan sedih semasa mengambil skrol selepas menerima berita kematian bapanya pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-15, Kampus Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
HASLINA Kalang (dua kanan) kelihatan sedih semasa mengambil skrol selepas menerima berita kematian bapanya pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-15, Kampus Gong Badak. FOTO Ghazali Kori

Haslina yang juga anak kedua daripada lima beradik berkata, dia datang ke UniSZA sejak semalam dengan ditemani kakak sulung, Kasnia, 24, untuk mengambil skrol.

Menurutnya, dia memang keberatan untuk datang ke Terengganu, namun bapanya memintanya menghadiri konvokesyen terbabit.

"Bapa diserang angin ahmar pada tahun lalu, namun sejak kebelakangan ini keadaan kesihatannya sedikit merosot kerana sering terjaga pada waktu tengah malam dan sukar tidur.

"Selepas habis belajar di Unisza tahun lalu, saya dan ibu menjaganya. Malah, apa yang menyedihkan saya tidak sempat berkongsi hari gembira ini dengan bapa," katanya.

Katanya, dia sepatutnya pulang ke Tawau, esok, namun mengambil keputusan balik bersama dengan kakak dengan segera, hari ini.

"Saya berterima kasih kepada pengurusan UniSZA yang membantu membiayai dengan memberikan RM2,500 untuk kos penerbangan ke Tawau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 2:58 PM