MOHD Fared (kiri) mengunjungi Zek Ayry Khan di Taman Impian Emas. FOTO Mary Victoria Dass
MOHD Fared (kiri) mengunjungi Zek Ayry Khan di Taman Impian Emas. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: "Dugaan kami bukan sikit, selang tiga tahun isteri disahkan kanser payudara tahap dua, saya pula didiagnos kanser pangkal hidung tahap empat pada awal April lalu," kata anggota kumpulan nasyid Iman Heart, Zek Ayry Khan, 45.

Zek berkata, dia tidak sangka beberapa simptom dialami sejak awal tahun menjadi petanda penyakit berkenaan yang sudah merebak ke saraf serta tulang belakangnya.

Menurutnya, dia didiagnos menghidapi kanser selepas menjalani pembedahan implan tulang belakang di Hospital Sultanah Aminah (HSI) pada akhir Mac lalu.

"Saya sebelum ini mengalami masalah 'slipped disc'. Namun doktor mendapati sakit tulang belakang saya berpunca daripada sel kanser yang merebak. Saya dijadualkan menjalani rawatan radioterapi lebih 10 kali bermula seminggu lalu," katanya.

Zek Ayry berkata, dia tidak mampu membalas jasa dan pengorbanan isterinya, Noor Diana Hashim, 45, yang tabah memberi jagaan kepadanya walaupun masih belum bebas kanser.

Menurutnya, Noor Diana akan meneruskan rawatan radioterapi di HSI selepas terpaksa menangguh sesi rawatan bagi memberi jagaan kepadanya.

Katanya, buat masa ini keluarganya juga hilang punca pendapatan apabila dia tidak dapat bekerja serta hanya bergantung kepada pendapatan tidak menentu isterinya serta bantuan dua anak lelaki yang bekerja biasa.

"Sebelum ini saya menjadi pengamal perubatan tradisional. Namun kini tahap kesihatan kian merudum termasuk kaki kanan yang semakin mengecil serta kedua belah kaki menggeletar dipercayai akibat masalah saraf.

"Saya juga masih tidak dapat berjalan mahupun berdiri dan hanya bergerak menggunakan kerusi roda.

"Saya kuatkan semangat demi keluarga dan terus melawan penyakit ini bersama isteri supaya kedua-duanya sembuh," katanya.

Sementara itu, Noor Diana berkata, dia turut berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang membiayai kos pembedahan suaminya sebelum ini.

"Buat masa ini saya kuatkan semangat untuk terus mengambil tempahan katering demi menanggung perbelanjaan rawatan susulan suami mahupun saya mahupun sewa rumah walaupun doktor menyatakan sel kanser saya merebak dengan agresif.

"Saya berharap mampu mendapatkan bantuan perubatan dan sara hidup dari MAIJ demi meneruskan kehidupan," katanya.

Pasangan berkenaan menerima kunjungan daripada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad di kediamannya di Taman Impian Emas di sini hari ini.

Mohd Fared berkata, pasangan itu boleh memohon bantuan perubatan mahupun sara hidup demi meringankan beban.

"Saya berharap mereka tabah mengharungi ujian berat ini," katanya.

Noor Diana diuji dengan barah payudara sejak 2021 selain menjalani pembedahan pembuangan ketumbuhan pada November tahun lalu selepas menjalani rawatan kemoterapi sejak Disember 2021 hingga April tahun lalu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Noor Diana Hashim di akaun Am Bank 1040070003182.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 4:01 PM