Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: "Walaupun sedih tanpa ahli keluarga, saya kuatkan semangat, naik ke pentas untuk menerima skrol ini," kata graduan Ijazah Kedoktoran (PhD) dari Palestin, Hanan Kamel Mohammed Saad, 51.

Beliau antara 3,608 graduan UniSZA yang menerima PhD, sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Ke-15 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah UniSZA di sini, hari ini.

Hanan Kamel berkata, kali terakhir dia berhubung dengan keluarganya di Gaza semalam, menerusi media sosial dan mereka sempat mengucapkan tahniah.

"Namun tetap sedih apabila mereka tidak dapat meraikan kejayaan ini bersama-sama... perasaan gembira ini bercampur sedih apabila mengenangkan nasib keluarga di sana.

"Saya berharap mereka diberi perlindungan Allah SWT," katanya ketika ditemui.

Hanan Kamel berkata, serangan bertali arus oleh rejim Israel membuatkan situasi di Gaza sangat buruk dan tiada tempat yang selamat untuk penduduk diami, malah internet yang lemah menyebabkan dia hanya mampu berbalas pesanan ringkas.

"Ramai penduduk di sana bukan saja kehilangan ahli keluarga, malah juga hilang tempat tinggal akibat tindakan Israel.

"Bagaimanapun, saya bersyukur buat masa ini, ahli keluarga saya berada di tempat yang selamat dan berharap mereka terus bertahan.

"Saya berdoa supaya keganasan ini dapat dihentikan serta rakyat Palestin mendapat kebebasan," katanya yang merancang bekerja di Malaysia buat masa ini.

Sementara itu, Saber TR Syouri, 50, yang juga graduan PhD Fakulti Informatik & Komputeran tidak dapat menghadiri majlis graduasi itu kerana berada di Palestin.

"Saya meminta maaf kerana tidak dapat hadir bersama-sama graduan lain dalam majlis yang istimewa ini kerana situasi di Gaza yang genting.

"Saya berterima kasih atas segala-galanya, terima kasih Terengganu. Terima kasih UniSZA dan terima kasih kepada semua," katanya menerusi tayangan video disiarkan pada majlis itu.

HANAN Kamel menerima ijazah kedoktoran pada konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-15 hari ini. FOTO GHAZALI KORI.
HANAN Kamel menerima ijazah kedoktoran pada konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-15 hari ini. FOTO GHAZALI KORI.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 4:49 PM