GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Jerantut: Seorang peniaga didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana sengaja mendaftar kelahiran anak sulungnya lebih daripada sekali pada September tahun lalu.

Majistret Nur Syafiqah Noorinda menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdul Aziz Saini, 38, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkannya dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Abdul Aziz didakwa dengan sengaja mendaftar kelahiran berkenaan dengan seseorang yang dibuat lebih daripada sekali semasa membuat permohonan pendaftaran lewat kelahiran di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Jengka, dekat sini pada 1.10 tengah hari, 12 Sept tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1)(g) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pembantu Pegawai Pendakwaan JPN Mohd Jeffri Abd Rashid memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun peguam Datuk Dr Ng See Teong yang mewakili tertuduh memohon denda minimum atas alasan anak guamnya merupakan seorang peniaga kecil-kecilan dan menyara keluarga.

Berdasarkan fakta kes, bapa kepada tiga orang anak itu telah ke JPN tahun lalu untuk membuat pendaftaran lewat kelahiran anaknya yang ketika itu berusia 16 tahun, namun semakan JPN mendapati remaja tersebut telah memiliki sijil kelahiran atas status bukan warganegara.

Sijil kelahiran itu telah didaftarkan dan dikeluarkan pada 9 Januari 2008 di JPN Jengka dan diletakkan bawah status bukan warganegara kerana Abdul Aziz ketika itu gagal mengemukakan sijil perkahwinannya bersama isterinya yang merupakan warganegara Kemboja.

Tertuduh membuat permohonan baharu sijil kelahiran anaknya tahun lepas menerusi kategori Pendaftaran Lewat Kelahiran dengan kali ini membawa sijil nikah bersama pasport isteri.

Hasil soal siasat, tertuduh mengesahkan dan mengaku menyimpan sijil kelahiran asal atas nama anaknya itu dan menyerahkan kepada pegawai penyiasat untuk dibuat penahanan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 4:13 PM