Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: "Emosi saya sangat tertekan kerana kalau ikutkan saya sudah pulang ke Gaza bersama keluarga selepas menamatkan pengajian awal bulan ini.

"Namun, pertempuran yang sedang berlaku menghalang saya untuk pulang dan saya tidak tahu mereka sekarang hidup atau mati," kata Emad Saleem, 41, penuntut tunggal warga Palestin di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.

Penuntut jurusan doktor falsafah (PhD) Perakaunan dan Kewangan itu berkata, emosinya tertekan memikirkan nasib isteri, Mariam Mohamed, 34, serta dua anak lelakinya, Saleem Emad Saleem, 12, dan Kareem Emad Saleem, 10, di Gaza.

Menurutnya, keadaan di Palestin sangat getir selepas terputus bekalan elektrik, air dan makanan, selain banyak bangunan musnah dan mereka boleh mati bila-bila masa sahaja.

"Kali terakhir saya berhubung dengan keluarga, tiga hari lalu, selepas saya menghubungi mereka yang kini tinggal dalam sebuah bangunan di Gaza.

"Namun, sekarang saya tidak lagi dapat menghubungi keluarga saya apabila bekalan elektrik dan air dipotong. Saya tidak tahu keadaan mereka sekarang ini.

"Kalau boleh, saya mahu membawa mereka keluar dari Gaza, tapi saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak boleh pergi ke sana dan mereka tidak boleh datang ke sini. Ini adalah serangan paling dahsyat dan sukar di Gaza," katanya.

Beliau ditemui selepas Program Himpunan Solidariti bersama Palestin @UniSZA anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA di perkarangan Pusat Aktiviti Pelajar (PAP) Kampus Gong Badak di sini, semalam.

Emad Saleem, 41 (tengah) penuntut tunggal dari Palestin di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ketika ditemui pada Program Himpunan Solidariti bersama Palestin. FOTO GHAZALI KORI
Emad Saleem, 41 (tengah) penuntut tunggal dari Palestin di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ketika ditemui pada Program Himpunan Solidariti bersama Palestin. FOTO GHAZALI KORI

Pada himpunan itu, seramai 300 pelajar jurusan diploma dan ijazah membabitkan 11 fakulti berhimpun sebagai tanda sokongan dan bersama dalam perjuangan rakyat Palestin.

Mengulas lanjut, Emad yang melanjutkan pengajian di UniSZA pada tahun 2019 berkata, dia kini hanya menunggu panggilan telefon daripada anaknya selepas dia tidak lagi dapat menghubungi keluarganya.

Menurutnya, akibat serangan itu juga, dia dimaklumkan sudah kehilangan 10 nyawa membabitkan saudara-mara yang meninggal dunia.

"Saya difahamkan serangan bom yang dilancarkan secara rambang sekali gus mengakibatkan ramai manusia terkorban, selain rumah, masjid dan bangunan, semuanya musnah.

"Saya berdoa moga Allah lindungi dan beri kekuatan kepada isteri, anak, ibu dan adik, selain saudara kami di Palestin daripada kekejaman rejim zionis," katanya yang turut kehilangan bapa, abang dan kakak akibat serangan Israel sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 9:22 AM