Rofidah (kanan) bersama suaminya mewakili arwah anaknya untuk menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Ke-9 Universiti Sultan Zainal Abidin. FOTO Rozainah Zakaria
Rofidah (kanan) bersama suaminya mewakili arwah anaknya untuk menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Ke-9 Universiti Sultan Zainal Abidin. FOTO Rozainah Zakaria
Zatul Iffah Zolkiply


IBU kepada empat anak tidak dapat menahan sebak apabila mengambil ijazah anak sulungnya pada Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-9 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kuala Nerus hari ini.

Rofidah Hussein, 51, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah menerima ijazah bagi pihak anaknya, Muhammad Azadi Mohamad Anuar, 24, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Rangkaian Komputer) yang meninggal dunia pada 25 Januari lalu kerana masalah jantung selepas berlaku jangkitan kuman.

Ketika itu, Muhammad Azadi sedang menjalani Latihan Industri (LI) di UniSZA dan pulang ke kampungnya di Alor Setar, Kedah kerana mahu menyambut hari lahirnya pada 20 Januari lalu.

Menurut Rofidah, arwah mula dikesan mengalami masalah jantung pada 2015 dan pernah menangguhkan pengajiannya di UniSZA selama setahun kerana penyakitnya itu.

"Dia bagaimanapun menyambung semula pengajiannya pada awal tahun lalu dan tidak pernah mengeluh dengan penyakit yang ditanggungnya.

"Dia anak yang kuat dan tidak menyusahkan. Walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan, dia tidak menyusahkan saya dan suami, Mohamad Anuar Ismail, 51, dan tiga adiknya.

"Sepanjang tempoh pengajiannya, dia berulang-alik dariAlor Setar ke Terengganu bersendirian dan kekuatan yang ditunjukkan arwah menjadi contoh terbaik tiga adiknya masing-masing berusia 23, 20 dan 16 tahun," katanya.

Walaupun sedih kerana tidak dapat melihat arwah mengambil sendiri ijazahnya, Rofidah dan suaminya gembira kerana arwah tetap mengharumkan nama keluarga walaupun dia sudah tiada.

Ijazah berkenaan disampaikan Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Prof Dr Mohd Yusof Md Nor.

Terdahulu, istiadat pembukaan majlis itu disempurnakan Canselor UniSZA, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan anakanda baginda, Tengku FatimatuzZahra’.

Seramai 2,359 graduan UniSZA diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama tiga hari sehingga Isnin ini dengan 18 graduan PhD, sarjana (59), sarjana muda (1,321) dan diploma (961).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 9:25 PM