Muhammad Najmir Razaman

TREND penipuan perbankan dalam talian dikatakan semakin meningkat saban hari.

Selain tahap kesedaran dan sikap mangsa sendiri, peningkatan kes sebegini turut berpunca daripada taktik mudah pihak 'scammer' memperdayakan mangsa melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau pautan yang seakan-akan sama dengan yang digunakan institusi kewangan.

Menyedari akan pentingnya keselamatan pengguna, institusi kewangan terkemuka Malaysia, Maybank, memperkenalkan pengaktifan Secure2u melalui mesin juruwang automatik (ATM) bagi memperkukuhkan lagi keselamatan transaksi pengguna mereka.

Daftar di ATM Maybank

Sejak 31 Oktober lalu, pelanggan Maybank sedia ada atau yang baru bertukar kepada peranti lain boleh mendaftar dan mengaktifkan Secure2u buat kali pertama dengan selamat dan mudah melalui mana-mana mesin ATM Maybank di seluruh negara.

Langkah ini adalah tambahan kepada langkah-langkah keselamatan yang diperkenalkan Maybank pada Julai 2023 iaitu imej keselamatan pengguna, program pendidikan, penghapusan SMS TAC dan talian pencegahan penipuan 24 jam yang bertujuan mengurangkan transaksi tanpa kebenaran serta aktiviti penipuan perbankan dalam talian.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, dengan membenarkan pelanggan melakukan pengaktifan Secure2u melalui ATM, mereka boleh mengawal sendiri proses pengesahan perbankan dalam talian mereka dengan lebih baik dengan mengesahkan identiti mereka secara fizikal di ATM.

Ia sekali gus dapat meningkatkan pengawasan ke atas akaun mereka dan pastinya melindungi wang mereka daripada sebarang aktiviti penipuan perbankan. 

Untuk mendaftar Secure2u, pemegang kad Maybank hanya perlu mengikuti dua langkah mudah.

Pertama, daftar Secure2u melalui aplikasi MAE, kemudian aktifkan Secure2u dengan nombor PIN kad debit atau kredit di mana-mana ATM Maybank di seluruh negara.

Bagi pelanggan yang tidak mempunyai kad bank fizikal atau berada di luar negara pula, anda boleh menghubungi pusat  khidmat pelanggan Maybank di talian 1-300-88-6688 bagi permintaan mengaktifkan Secure2u.

Pendaftaran Secure2u bagi pelanggan yang tidak mempunyai kad fizikal juga haruslah dibuat melalui aplikasi MAE.

Pelanggan boleh mula meluluskan transaksi minimun selepas 12 jam setelah melakukan pengaktifan Secure2u melalui ATM atau panggilan di pusat khidmat pelanggan. 

Jadi, tempoh bertenang bagi setiap pelanggan juga mungkin berbeza kerana Bank akan menganalisis trend penipuan dan corak transaksi secara berterusan sebagai langkah untuk terus melindungi pelanggan.

Pelanggan juga disyorkan untuk berada di ATM Maybank secara fizikal sebelum memulakan pendaftaran Secure2u di aplikasi MAE bagi proses yang lebih lancar. 

Langkah selamat dan terjamin

Langkah mengaktifkan Secure2u di ATM Maybank dilihat penting kerana ia bertindak sebagai satu lapisan tambahan yang memastikan bahawa hanya pelanggan boleh meluluskan pendaftaran Secure2u mereka.

Ini kerana 'scammer' memerlukan kad bank, telefon pintar, nombor pin serta akses kepada aplikasi perbankan bagi memperdayakan mangsa.

Oleh itu, pelanggan diingatkan agar tidak berkongsikan nombor pin ATM dengan sesiapa sahaja.

Dengan terdapat sehingga 2,900 mesin ATM di seluruh negara, Maybank menyediakan akses mudah kepada pelanggan bagi melakukan pengaktifan Secure2u dengan selamat dan terjamin.

ATM Maybank beroperasi bermula jam 6.00 pagi hingga 12.00 pagi setiap hari dan boleh didapati di pelbagai lokasi seperti pusat perkhidmatan, pusat beli-belah, stesen minyak, stesen kereta api, hospital, dan banyak lagi.

Pelanggan juga dinasihatkan agar mematuhi peraturan keselamatan siber di bawah bagi melindungi diri daripada aktiviti penipuan perbankan dalam talian: 

  1. Jangan sesekali klik pautan yang diterima daripada sumber tidak diketahui.
  2. Jangan sesekali memuat turun sebarang aplikasi dari mana-mana pautan, kecuali yang terdapat di gedung aplikasi rasmi.
  3. Jangan sesekali berkongsi nama pengguna, nombor pin dan kata laluan anda dengan sesiapa sahaja, termasuk rakan atau ahli keluarga.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengaktifan Secure2u, layari laman sesawang Maybank2u sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 3:37 PM