1Muhamaad Razis Ismail

TENANG, santai dan menyelerakan. 

Itulah yang dirasai penulis apabila berkunjung ke Café Mesra di The Gardens North Tower, MidValley City, baru-baru ini.

Membawakan konsep kafe yang moden dan on the go, pengunjung turut disambut dengan senyuman, kemesraan serta keselesaan untuk menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman yang disajikan.

Menjadikannya lebih istimewa, Café Mesra turut menyajikan pelbagai kopi berkualiti barista, pastri segar yang baru dibakar dan makanan panas.

Malah, Signature Mesra Latte, minuman signature Café Mesra wajib dicuba sekiranya anda peminat minuman kopi.

Pengunjung turut mempunyai pilihan pelbagai hidangan di bawah rangkaian SayHeart dan Fusi on yang menawarkan pengalaman gastronomi unik yang tidak akan dilupakan.

SayHeart by Café Mesra menawarkan menu yang mementingkan kualiti kesihatan seperti kombucha, pilihan makanan glukosa rendah mahupun makanan berasaskan tumbuhan (plant- based) bagi memenuhi kehendak pelanggan.

Untuk menu Fusion pula, ia menyediakan masakan panas yang menggabungkan pelbagai bahan dan rasa seperti Lasagna Ayam, Bolognese Pasta dan Mac and Cheese yang memberikan pengalaman unik kepada para pelanggan.

Bagi mereka yang mahu capai menu on the go, anda boleh mencuba Nasi Lemak dan Bihun Siam Bungkus Series yang boleh dinikmati bersama pilihan mana-mana kopi yang dibru oleh barista pada harga yang berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Mesra Retail and Cafe Sdn Bhd (Mesra), Ian Malcolm Cruddas berkata, rakyat di negara ini cukup mengenali kedai serbaneka Mesra yang menjadi tempat persinggahan utama ketika mengisi petrol di stesen minyak Petronas.

Katanya, pihaknya berkembang dengan keluar daripada 'kepompong' stesen minyak Petronas untuk membuka Café Mesra di lokasi tumpuan yang dapat memberi keselesaan kepada pengunjung.

"Idea untuk membuka Café Mesra tercetus apabila melihat ramai yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan makanan ketika negara ini dilanda pandemik kerana kedai sedia ada tidak dapat menawarkan keperluan secara menyeluruh.

"Menyedari keperluan itu, kami memperkembangkan perniagaan dengan melancarkan Café Mesra yang dapat menawarkan pelbagai makanan kepada pelanggan.

"Kami mula beroperasi pada Julai 2022 dan sehingga kini sudah mempunyai 63 cawangan yang beroperasi di hampir seluruh negara seperti di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

"Melihat maklum balas positif yang diberikan, kami menyasarkan akan membuka 100 cawangan sehingga hujung tahun ini dan akan meningkatkan bilangan cawangan kepada 150 pada tahun hadapan," katanya.

Café Mesra merupakan inisiatif Petronas Dagangan Berhad (PDB) dalam usahanya untuk melebarkan operasi dalam segmen makanan dan minuman (F&B) selain mengukuhkan kehadirannya dalam perniagaan bukan bahan api.

Bukan hanya sekadar kesinambungan daripada Kedai Mesra di stesen minyak Petronas, Café Mesra berhasrat untuk menawarkan servis berkualiti kepada pelanggannya selain mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran tempatan.

Mengulas mengenai jenis dan format perniagaannya, Ian berkata, pihaknya memperkenalkan pelbagai jenis dan format premis yang berbeza termasuk lot kedai, kios, kios bergerak dan treler makanan bergantung kepada lokasi operasinya.

"Setiap jenis premis ini mengambil kira kesesuaian lokasi dan saiz ruang yang menitikberatkan keselesaan pelanggan," katanya.

Ian berkata, Café Mesra menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman yang mengambil kira cita rasa setiap lapisan masyarakat di negara ini.

"Strategi kami bukan menawarkan makanan dan kopi yang murah semata-mata untuk menarik perhatian pelanggan. 

Sebaliknya, kami cenderung menawarkan produk premium pada harga yang berpatutan dan pada masa sama dapat memberi kepuasan kepada pelanggan yang menikmati pelbagai hidangan di Café Mesra.

"Pada masa hadapan, kami juga merancang untuk menjual pelbagai produk lain di Café Mesra termasuk barangan cenderahati seperti baju T, cawan, botol minuman dan sebagainya.

"Kami jangkakan pada pertengahan tahun hadapan, semua cawangan Café Mesra tidak akan menggunakan plastik sekali guna (single use plastic)," katanya.

Ian berkata, pengalamannya selama 40 tahun dalam bidang peruncitan memberi peluang dan ruang kepadanya untuk terus mengembangkan Café Mesra ke peringkat yang lebih tinggi.

"Pada masa hadapan, kami akan mengetengahkan lebih banyak produk, sekali gus mewujudkan sinergi antara Kedai serbaneka Mesra dan Café Mesra supaya sentiasa berada di hati masyarakat di negara ini," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 1:34 PM