GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan sembilan orang terdiri daripada ejen kastam dan 'freight forwarder' semalam, selepas disyaki seleweng barangan berduti membabitkan nilai RM136 juta.

JKDM berkata, penahanan dibuat hasil maklumat dan risikan selepas pihak terbabit dipercayai menyeleweng dalam kemudahan pemindahan barang berduti.

Katanya, ia dilakukan menerusi Borang Kastam 8 iaitu pemindahan barang berduti (barang campur) dari Pelabuhan Utara (B10) ke Pelabuhan Barat (B18) dan Port Klang Free Zone (Gudang B3S).

"Mengikut maklumat, kontena telah disahkan pelepasan daripada stesen penghantar di Pelabuhan Utara (B10) dan didapati dilencongkan ke satu lokasi lain di sekitar Lembah Klang dan destinasi lain.

"Jumlah Borang Kastam 8 terbabit adalah sebanyak 2,038 borang pada tahun ini dan 462 borang tahun lalu.

"Kes-kes ini dianggarkan melibatkan barangan bernilai RM136 juta, manakala duti/cukai terbabit dianggarkan sebanyak RM16 juta," katanya kepada Harian Metro.

JKDM berkata, semua tahanan dikenakan perintah tahanan reman selama empat hari oleh Mahkamah Klang untuk siasatan lanjut.

"Sebanyak empat kertas siasatan dibuka dan siasatan dijalankan bagi kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 9:36 PM