GAMBAR hiasan. FOTO Bernama.
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kos sara hidup ketika ini menjadi fokus utama Kerajaan Madani dalam usaha membantu mengurangkan beban rakyat, selain meningkatkan ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun berdepan kenaikan kos pelbagai barangan, namun ia berjaya dikawal oleh setiap kementerian yang berkaitan.

Beliau berkata, Malaysia masih terbaik dari segi kawalan berbanding negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

"Kos sara hidup itu agenda tetap dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebab kita tidak pandang ringan beban rakyat.

"Sebab itu kita beri kenaikan subsidi seperti subsidi padi, pekebun kecil getah, nelayan selain menaikkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (Sara) membabitkan kenaikan RM10 bilion," katanya dalam program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung di semua televisyen tempatan malam ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau memahami beban kos hidup yang ditanggung oleh rakyat dan kerajaan berusaha mengawal kenaikan melalui pelbagai inisiatif dilaksanakan.

Selain itu, beliau juga terbuka untuk menerima sebarang kritikan dan teguran sekiranya ia berlandaskan fakta tepat.

"Teguran itu tidak apa cuma kadang-kadang bebal dan memperbodohkan rakyat oleh kerana sikap taksub tanpa fakta seolah-olah mendoakan lagi harga naik.

"Sebarang suara atau kritikan dan teguran berdasarkan fakta, saya terima baik. Ada bidang kita harus perbaiki dan tiada pemerintah yang sempurna harus dengar (pandangan rakyat)," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat kelemahan dari segi komunikasi dan penyampaian untuk meyakinkan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 10:41 PM