GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Memperdaya warga emas kononnya mahu menyalurkan bantuan sebelum suspek melarikan wang milik mangsa.

Itu taktik digunakan seorang lelaki yang disyaki terbabit lebih 30 kes penipuan di seluruh negara dengan menyasarkan warga emas.

Perbuatan suspek itu tular di media sosial selepas dipercayai menipu seorang warga emas di SS2 Petaling Jaya baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebook, suspek dikatakan menyamar sebagai wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau Pejabat Wakil Rakyat untuk memancing mangsa ke bank bagi menerima wang bantuan.

"Lelaki itu mendakwa akan mengambil wang untuk diserahkan kepada mangsa, namun meminta mangsa terlebih dahulu mendedahkan maklumat bank dan jumlah wang yang ada sebelum bantuan disalurkan mengikut jumlah simpanan mereka.

"Suspek akan meyakinkan mangsa untuk mengikut arahannya sebelum dia dikatakan berpura-pura mahu berjumpa pengurus bank lalu melarikan diri," tulis pemilik akaun FB menggunakan nama Chee Heng Kuan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, suspek sudah ditahan dan mempunyai lima kes termasuk satu rekod dikehendaki di daerah ini.

"Empat daripadanya sudah dituduh di mahkamah dan suspek mengaku tidak bersalah. Satu rekod dikehendaki polis di Sea Park.

"Semakan lanjut mendapati terdapat 30 laporan dibuat berkait suspek meliputi daerah di Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pahang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, maklumat lanjut berhubung suspek akan dimaklumkan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 8:52 PM