GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nazdy Harun


Kuala Berang: Seorang pelajar madrasah maut apabila motosikal yang ditunggang merempuh belakang sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 382.6 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (Bukit Besi - Ajil) semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11.32 malam.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan membabitkan satu kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi dengan sebuah motosikal jenis Honda Vario.

Katanya, pacuan empat roda dari arah Felda Keratong 9 menuju ke sebuah inap desa di Kuala Terengganu, untuk menghadiri program "RXZ Members."

"Manakala penunggang motosikal dari arah Kampung Sri Bandi Kijal, Kemaman, menghala ke sebuah madrasah di Kampung Bukit Bading, Ajil, dekat sini.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu pacuan empat roda memberhentikan kenderaan di laluan kecemasan untuk membantu rakannya yang mengalami kerosakan motosikal.

"Selepas pacuan berhenti lebih kurang 15 minit di lorong kecemasan tiba-tiba datang penunggang motosikal iaitu Muhammad Hafiz Azizi Mustafa Kamal, 20, dari arah belakang lalu melanggar bahagian belakang pacuan empat roda berkenaan," katanya.

Menurutnya, akibat daripada perlanggaran itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

Beliau berkata, penunggang motosikal maut akibat cedera di bahagian kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 11:12 AM