BERNAMA

Kuala Berang: Suami isteri warga emas maut selepas pacuan empat roda dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 392.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Bukit Besi-Ajil, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam tadi, mangsa, Mohd Ghani, 68, dan Minah Abdullah, 69, yang berasal dari Kampung Tok Rimau di Kuala Terengganu, maut di tempat kejadian dipercayai akibat parah di beberapa bahagian badan, manakala anak lelaki mereka yang memandu kenderaan mengalami kecederaan patah kedua-dua belah kaki.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Hasmeera Hassan berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda dinaiki mangsa dengan anak lelakinya datang dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu, manakala treler pula dari arah Kuantan ke Kota Bharu.

Beliau berkata, ketika di lokasi kejadian, kenderaan terbabit merempuh treler yang berada di lorong kiri dari arah belakang.

"Rempuhan menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan pacuan empat roda, manakala treler yang membawa muatan hampas kelapa sawit hanya pecah tayar kanan dan bengkok besi belakang.

"Pemandu dan kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu pacuan empat roda patah kaki kiri dan kanan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Hasmeera berkata, mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pihak bomba dari Balai Bomba Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 9:41 AM
Kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dinaiki pasangan suami isteri warga emas remuk selepas melanggar bahagian belakang treler di Kilometer 392.9 LPT2 dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil. FOTO ZAID SALIM
Kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dinaiki pasangan suami isteri warga emas remuk selepas melanggar bahagian belakang treler di Kilometer 392.9 LPT2 dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil. FOTO ZAID SALIM