MANGSA dipercayai tidak sempat mengelak kenderaan yang membuat pusingan U. FOTO ihsan Pembaca
MANGSA dipercayai tidak sempat mengelak kenderaan yang membuat pusingan U. FOTO ihsan Pembaca
Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Penunggang motosikal putus kaki kiri dan maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Batu 30 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh jam 1.30 petang tadi.

Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa, 19, gagal mengelak kenderaan pacuan empat roda yang membuat pusingan U di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan dari arah Batang Kali ke Serendah.

"Pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 73 tahun itu cuba untuk membuat pusingan U, namun penunggang motosikal dari arah sama tidak sempat mengelak dan terus melanggar bahagian bucu kanan kereta terbabit.

"Akibat pertembungan itu penunggang motosikal putus kaki kiri dan menerima rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu.

"Kira-kira tiga jam kemudian magsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2016 @ 8:43 PM