KEADAAN Perodua Alza dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24, Bukit Tiga, Jalan Mawai-Kuala Sedili, kelmarin.
KEADAAN Perodua Alza dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24, Bukit Tiga, Jalan Mawai-Kuala Sedili, kelmarin.
Mohd Sabran Md Sani


Kota Tinggi: Dua maut, manakala tiga yang lain cedera parah selepas tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24, Bukit Tiga, Jalan Mawai-Kuala Sedili, di sini, petang kelmarin.

Kejadian jam 5.35 petang itu mengakibatkan mangsa, Mohd Fadzil Noh, 37, yang juga pemandu Perodua Alza dan penumpang hadapan, Julaiha Senin, 36, yang juga isterinya, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang belakang, Ramadan Satri, 33, parah.

Turut cedera, pemandu pacuan empat roda Mitsubishi Triton, Mohamad Azrul Hamdi Rosman, 17, dari Kampung Gembut, Tanjung Sedili dan penunggang motosikal Fazidatulakhmar Safiee, 35, dari Batu 1, Tanjung Sedili, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Asisten Superintendan Rahmat Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca akibat kecuaian pemandu pacuan empat roda yang menghala ke Kota Tinggi kerana dipercayai memasuki laluan bertentangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda Mitsubishi Triton itu cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya (tidak dikenal pasti) menyebabkannya bertembung dengan Perodua Alza dipandu mangsa dari arah bertentangan.

“Pada masa sama, penunggang motosikal yang berada di belakang Perodua Alza tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kanan kenderaan di hadapannya itu.

“Akibat perlanggaran itu, pemandu dan penumpang hadapan Perodua Alza meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah,” katanya.

Menurutnya, pemandu pacuan empat roda turut parah pada bahagian kepala, sementara penunggang motosikal turut cedera parah dan kedua-duanya mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi.

Katanya, siasatan awal mendapati keadaan permukaan jalan basah kerana hujan lebat ketika kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 6:34 AM