Mohd Roji Kawi

Kuching: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memuktamadkan pembentukan tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) selewat-lewatnya Disember tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peraturan bagi membentuk tribunal itu sudah dirangka dan kini hanya dalam proses pelantikan ahli panel.

Menurutnya, apabila dibentuk, tribunal itu bertanggungjawab untuk mendengar dan melaksanakan proses pendakwaan atau pengadilan terhadap setiap aduan berkaitan gangguan seksual.

"Sekarang saya tak boleh memberikan butiran terperinci berhubung proses itu sehinggalah panel tribunal itu dilantik.

"Segala proses serta prosedur berhubung pendakwaan dan tindakan akan dijelaskan oleh mereka (ahli panel tribunal) nanti," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Anti Gangguan Seksual di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

NANCY Shukri. FOTO Aizuddin Saad
NANCY Shukri. FOTO Aizuddin Saad

Akta Antigangguan Seksual 2022 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 Oktober lalu dan diwartakan 18 Oktober tahun lalu.

Akta itu antara tumpuan utama KPWKM bagi mengekang sebarang bentuk gangguan seksual dalam kalangan masyarakat.

Pada Februari lalu, sebuah pertubuhan wanita, All Women's Action Society (AWAM) mahu penubuhan serta pelantikan ahli panel tribunal itu disegerakan.

Mengenai isu jurulatih 'dodgeball' yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap beberapa murid sebuah sekolah rendah di Petaling Jaya, Selangor, Nancy berkata, KPWKM belum menerima butiran lanjut mengenainya.

"Kes itu masih dalam siasatan polis dan kami tidak menerima laporan mengenainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 11:32 AM