NANCY ketika ditemui pemberita di Program Back To School 2024 di Dewan Serbaguna Kampung Tanjong Bako. FOTO Nadim Bokhari
NANCY ketika ditemui pemberita di Program Back To School 2024 di Dewan Serbaguna Kampung Tanjong Bako. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

Kuching: Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Syafeera Mohd Said menerajui Tribunal Anti Gangguan Seksual yang diwujudkan bagi menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dengan kos minimum.

Syafeera yang dilantik sebagai Presiden dibantu dua pegawai kanan Jabatan Peguam Negara iaitu Mohd Nasruddin Mohamad selaku timbalan dan Nurul Elida Baharudin sebagai setiausaha.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tribunal itu dibarisi mereka yang berpengalaman luas dalam hal berkaitan bagi menjamin kecekapan pengendalian kes gangguan seksual.

Beliau berkata, semua yang dilantik itu sudah memulakan tugas di tribunal berkenaan sejak penghujung Disember lalu.

Menurutnya, seramai 10 lagi ahli panel tribunal itu juga sudah dilantik manakala 20 perjawatan kakitangan tribunal sudah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Sekarang kita sudah mempunyai 13 ahli tribunal iaitu presiden, timbalan dan setiausaha manakala 10 ahli panel yang terdiri daripada lima ahli mempunyai latar belakang undang-undang dan lima lagi berpengalaman dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan dua daripada ahli panel itu mewakili Sabah dan Sarawak.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diperuntukkan 20 kakitangan tribunal oleh JPA dengan 15 daripada sudah diisi manakala lima lagi dalam proses pemilihan," katanya kepada pemberita di Program Back To School 2024 di Dewan Serbaguna Kampung Tanjong Bako, di sini, hari ini.

Program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Santubong dengan kerjasama Yayasan Sime Darby, Rotary Club dan Yayasan Kebajikan Negara itu diadakan di 21 sekolah dalam kawasan Parlimen Santubong.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, ketika ini tribunal berkenaan masih menumpang di pejabat KPWKM di Putrajaya sementara menunggu bangunan untuk mereka masih menjalani proses pengubahsuaian.

Mengenai pelantikan dua ahli panel bagi mewakili Sabah dan Sarawak, Nancy berkata, ia bagi memudahkan pendengaran kes dijalankan tanpa perlu membawanya ke Putrajaya.

"Walaupun pejabat belum ada di Sarawak dan Sabah, ahli panel boleh menggunakan pejabat di mahkamah atau pejabat Jabatan Peguam untuk mereka mendengar kes," katanya.

Sementara itu mengenai program yang dianjurkan, Nancy berkata, antara lain objektifnya adalah bagi meningkatkan kesedaran murid untuk bertindak segera jika berlaku sesuatu terhadap mereka termasuk gangguan seksual.

"Banyak kes berlaku tidak dilaporkan, sebab itu kita membawa program seperti ini ke sekolah supaya pelajar mempunyai maklumat untuk bertindak.

"Begitu juga dengan guru sebab kebanyakan kes kalau kita menyentuh mengenai kes gangguan seksual berlaku di kalangan keluarga dan pelajar sebagai mangsa tidak tahu apa yang perlu buat sebab ia membabitkan ahli keluarga mereka sendiri.

"Tetapi dalam hal, program yang dianjurkan tidak hanya tertumpu kepada kes gangguan seksual sahaja tetapi juga bagi menanam kesedaran murid untuk bertindak segera khususnya memanfaatkan talian kasih 15999 ketika menghadapi kes lain seperti kebakaran kerana tindakan segera itu mampu menyelamatkan seluruh keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 2:52 PM