MD Ridzuan menunjukkan sejarah Kuala Kubu Bharu di Galeri Sejarah KKB. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid.
MD Ridzuan menunjukkan sejarah Kuala Kubu Bharu di Galeri Sejarah KKB. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Hulu Selangor: Kawasan Kuala Kubu Baharu mempunyai tiga era dan setiap satunya mempunyai cerita yang tersendiri, kata Presiden Persatuan Sejarah Kuala Kubu, Md Ridzuan Idris.

Md Ridzuan, 63, berkata, pekan Kuala Kubu Baharu yang ada kini adalah ketiga, selepas Hulu Selangor dan Kuala Kubu.

Menceritakan pekan era pertama atau Hulu Selangor, Md Ridzuan berkata, ia mempunyai cerita tersendiri apabila semasa waktu itu, dibina sebuah empangan dikenali sebagai Empangan Kuala Kubu sekitar tahun 1780an.

Menurutnya, empangan ini disifatkan sebagai unik kerana ia adalah yang pertama di Tanah Melayu dengan struktur binaannya menggunakan kayu balak bagi menakung air di Sungai Kubu.

Katanya, pegawai dan wakil Inggeris yang paling awal melawat empangan ini, F.A Swettenham juga menyifatkannya ia sebagai empangan 'raksasa'.

"Anda bayangkan Swettenham mengatakan empangan ini besar, apa rasa anda? Bangga. Ini teknologi Melayu pada zaman itu yang orang tidak terfikir lagi guna kayu.

"Kita patut bangga dengan nenek moyang sebab ini sebahagian apa yang mereka buat dan buktikan. Empangan besar yang pertama di Tanah Melayu," katanya ketika ditemui di Galeri Sejarah KKB.

Mengulas lanjut, Md Ridzuan bagaimanapun berkata, empangan yang dibina itu pecah pada 29 Oktober 1883 mengakibatkan kematian 35 orang, manakala 1,500 orang pula hilang harta benda.

Menurutnya, beberapa hari sebelum peristiwa empangan itu pecah, Pemungut Hasil dan Majistret Pertama Hulu Selangor, Cecil Ranking telah mencampakkan tiga dinamit ke dalam empangan.

"Bom itu dia bawa ke dalam empangan dan dia baling dalam empangan. Kenapa dia buat?

Wallahualam," katanya.

Katanya, dinamit itu digunakan oleh Cecil bertujuan meletupkan pokok, batu dan bukit bagi membina satu jalan baru dari Kuala Kubu ke Serendah.

"Punca (empangan ini pecah) ada banyak, di samping dia membaling bom itu yang mempercepatkan prosesnya," katanya sambil menambah Cecil turut terbunuh dalam kejadian itu.

Katanya, selepas 12 tahun kejadian empangan berkenaan pecah, pekan ini kemudian dibina semula dengan nama Kuala Kubu dan dijadikan sebagai kawasan perlombongan.

Bagaimanapun katanya, akibat daripada kegiatan perlombongan yang tidak terkawal itu, berlakunya kejadian banjir yang kerap.

"Banjir besar bermula 1905. Sampai Kuala Kubu itu jadi banjir. Bila banjir, banyak perkara terjadi. Kena bayar pampasan, kena bersihkan pekan, barang-barang rosak dan perniagaan merosot.

"Siri banjir besar ini berlaku sehinggalah tahun 1921. Pentadbir orang putih kata dia 'surrender' dan memberikan satu notis untuk tinggalkan Kuala Kubu sebab tak mampu nak bayar pampasan, bersihkan pekan dan membaik pulih apa-apa yang musnah.

"Sehingga tahun 1925 hingga 1926, berlaku banjir besar di Kuala Lumpur dan Semenanjung. Satu negara banjir. Masa itu semua orang pindah," katanya.

Menurutnya, pekan Kuala Kubu ini kemudiannya menjadi kawasan tinggal, sehinggalah Perancang Asal Bandar Kuala Kubu Baharu, Charles C Reade diminta oleh British untuk merancang sebuah bandar baru.

Katanya, Charles kemudiannya menjadikan Kuala Kubu Baharu sebagai sebuah bandar dalam taman.

"Kita ada pekan kecil, dikelilingi kawasan perumahan dan kawasan hijau. Itulah konsepnya. Dalam dunia ini, tak banyak (bandar dalam taman). Ada kira-kira 30 saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 6:32 PM