PEMAIN KL City ketika beraksi pada kejohanan pramusim, Piala Sabah Maju Jaya (SMJ), baru-baru ini. FOTO FB KUALA LUMPUR CITY
PEMAIN KL City ketika beraksi pada kejohanan pramusim, Piala Sabah Maju Jaya (SMJ), baru-baru ini. FOTO FB KUALA LUMPUR CITY
Firdaus Hashim


Shah Alam: Kuala Lumpur City FC (KL City) sedia menebus kehampaan dua musim lalu apabila tidak sabar mengharungi edisi pertama Kejuaraan Kelab Asean, musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard berkata, kekalahan 0-3 di final Piala AFC di tangan kelab Oman, Al Seeb, dua tahun lalu mahu ditebus apabila mewakili negara di saingan serantau ini.

Begitupun, Stanley akui bukan mudah selepas undian Kejuaraan Kelab Asean itu menyaksikan skuad The City Boys berada dalam Kumpulan B bersama Buriram United dari Thailand, Cong An Ha Noi FC (Vietnam), Borneo FC Samarinda (Indonesia), Kaya FC-Iloilo (Filipina) dan Lion City Sailors FC (Singapura).

"Bukan satu kumpulan mudah dan boleh dikatakan ia kumpulan maut berbanding satu lagi Kumpulan A.

"Tapi saya yakin dengan pengalaman kita ada ketika beraksi di Piala AFC apabila banyak bermain di gelanggang lawan menentang kelab Vietnam, India dan Uzbekistan, ia akan mematangkan kita.

"Pasukan sudah tidak sabar menanti kejohanan Asean ini kerana ia memiliki aura tersendiri selain berbangga membawa nama negara di peringkat Asia," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain KL City, satu lagi wakil negara yang juga jaguh dari Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) diletakkan dalam Kumpulan A.

Dalam kumpulan itu, skuad Penyu bakal ditentang kelab Thailand, BG Pathum United, PSM Makassar (Indonesia), Dong A Thanh Hoa (Vietnam) dan dua lagi pemenang daripada aksi playoff babitkan pertembungan antara kelab Laos, Kemboja, Brunei dan Myanmar.

Setiap pasukan akan menempuh lima perlawanan dengan pasukan pertama dan kedua setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir.

Format separuh akhir dan final kejohanan bakal menggunakan format 'home' dan 'away'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 6:44 PM