Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meminta golongan lelaki tampil membuat laporan sekiranya menjadi mangsa gangguan seksual supaya bantuan sama adil dapat dihulurkan.

Hal itu berikutan lelaki didapati banyak mengambil langkah mendiamkan diri kerana tidak mahu memperbesarkan isu, namun tindakan itu sebenarnya tidak meredakan emosi mereka.

Menteri KPWKM Datuk Seri Nancy Shukri berkata, walaupun mengikut statistik golongan wanita yang banyak membuat aduan menjadi mangsa gangguan seksual tetapi lelaki juga tidak terkecuali dalam hal itu.

"Dalam hal ini (faktor lelaki kurang buat aduan) mungkin ada lelaki rasa dia teruja tetapi sebenarnya mereka terganggu.

"Mereka (lelaki) juga manusia dan atas sebab itu kita turut memberi penekanan terhadap golongan ini (supaya tidak takut lapor jika menjadi mangsa gangguan seksual)," katanya.

Nancy (tengah) dan Aiman Athirah (empat dari kiri) bergambar bersama penerima notis Antigangguan Seksual sempena Program Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual di Dewan Millenium di sini. FOTO DANIAL SAAD
Nancy (tengah) dan Aiman Athirah (empat dari kiri) bergambar bersama penerima notis Antigangguan Seksual sempena Program Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual di Dewan Millenium di sini. FOTO DANIAL SAAD

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Anti Gangguan Seksual di Dewan Millenium, di sini, hari ini.

Program jelajah ke seluruh negara itu bermatlamat memberikan pendedahan, pengetahuan dan menyebarluaskan pemakaian garis panduan dan notis anti gangguan seksual kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Nancy berkata, isu gangguan seksual harus ditangani dengan serius kerana ia boleh mendorong kepada jenayah seksual yang lebih serius dan kesannya terhadap mangsa adalah sangat negatif termasuk trauma dan ketakutan berpanjangan.

"Kita berharap dengan jelajah yang kita adakan ini dapat memberikan kesedaran dan juga panduan untuk mereka yang menjadi mangsa tidak kira lelaki atau perempuan dapat tampil membuat laporan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 9:33 PM