FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Golongan lelaki yang turut tidak terlepas dengan isu gangguan seksual diharapkan lebih berani tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu perlu diberi penekanan memandangkan pihaknya tahu ramai golongan lelaki menjadi mangsa gangguan seksual namun malu atau takut membuat laporan.

Katanya, ramai mangsa lelaki dilihat tampil mendapatkan kaunseling di Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Yayasan Kebajikan Negara (YKN), namun kurang membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Memang lebih ramai wanita jadi mangsa gangguan seksual membuat laporan berbanding lelaki, tetapi kita sebenarnya dapat bukti ramai lelaki yang jadi mangsa terutamanya apabila kita buka PSSS, golongan lelaki tampil di situ untuk dapatkan kaunseling.

"Gangguan seksual terhadap lelaki ini lebih kurang sama dengan wanita. Kita mahu galakkan mereka tampil dan jangan takut terutamanya jika golongan pelajar atau kanak-kanak. Daripada segi layanan (mangsa) lelaki atau wanita, kita tidak ada beza," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail@Md On.

Menurut Nancy, bagi memastikan kesedaran terhadap isu gangguan seksual dapat ditingkatkan, pihaknya berharap penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual yang sudah diluluskan dapat mula beroperasi sebelum berakhirnya tahun ini.

"Kita lebih kepada berkongsi dari segi advokasi, tetapi dari segi undang-undang kita masih lagi menunggu Jabatan Peguam Negara dalam soal Tribunal Antigangguan Seksual.

"Kita sudah bersedia kerana semua sudah diluluskan dan harap dapat memulakan perkhidmatan tribunal ini sebelum hujung tahun," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa gangguan seksual masih boleh membuat laporan walaupun sebelum tribunal beroperasi dengan menggunakan peruntukan akta yang sedia ada.

"Kalau melalui tribunal kita boleh ambil tindakan dari sudut sivil, tetapi undang-undang yang membawa kepada tindakan jenayah masih boleh diguna pakai.

"Untuk tribunal, mangsa boleh menuntut ganti rugi," katanya.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan meningkat daripada 378 kes pada 2020 kepada 506 kes pada 2021.

Bagaimanapun, terdapat penurunan pada 2022 iaitu 477 kes dengan membabitkan mangsa daripada kedua-dua jantina, lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 3:53 PM