ANTARA yang ditahan dalam serbuan  di sekitar kawasan Iskandar Puteri. FOTO Ihsan JIM Johor.
ANTARA yang ditahan dalam serbuan di sekitar kawasan Iskandar Puteri. FOTO Ihsan JIM Johor.
Omar Ahmad


Johor Bahru : Seramai 52 warga asing, dan dua warga tempatan ditahan dalam operasi Ops Mahir di kilang Aluminium dan kilang roti sekitar Iskandar Puteri di sini, semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Johor, Mohd Faizal Shamsudin berkata, operasi secara berasingan itu dijalankan kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa JIM Johor.

Katanya tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Dalam dua operasi berasingan itu, seramai 76 orang warga asing dan tempatan diperiksa.

"Semua mereka yang ditahan di kilang aluminium adalah sepuluh warga Pakistan, warga Bangladesh (sembilan) warga China (empat) dan warga Myanmar (tiga) masing-masing berumur antara 20 tahun hingga 46 tahun.

"Turut ditahan seorang wanita warga tempatan berumur 43 tahun merupakan pengurus kilang terbabit, "katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Faizal, tangkapan di kilang roti pula membabitkan 29 warga Myanmar, warga Pakistan (dua) dan seorang warga Nepal masing-masing berumur 21 tahun hingga 42 tahun.

Katanya dalam serbuan di kilang roti turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang juga pengarah syarikat itu.

"Semua warga asing yang ditahan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

"Sebanyak tiga notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia bagi membantu siasatan.

"Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 6:19 PM