Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Kira-kira 15,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, hari ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penganjurannya bertujuan memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

"Majlis itu membolehkan pemimpin bertemu dan beramah mesra dengan rakyat di sekitar negeri Terengganu tanpa mengira latar belakang.

"Kita berkumpul bersama dalam suasana harmoni selain membina jalinan perpaduan bersama Kerajaan Persekutuan," katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Johari berkata, melalui majlis ini juga, rakyat Terengganu berpeluang mengenali fungsi, peranan dan perkhidmatan KPK dengan lebih dekat melalui informasi dan pameran interaktif yang disediakan.

"Antara perkhidmatan kaunter disediakan termasuk perkhidmatan dan khidmat nasihat berkaitan sektor agrikomoditi serta promosi program pembangunan kapasiti dan modal insan.

"Program dijalankan melalui kursus peningkatan kemahiran di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC)," katanya.

Sementara itu, pengunjung, Wan Kamariah Wan Ngah, 59, dari Kampung Seberang Takir berkata, dia berasa teruja dan bertuah apabila dapat menghadiri majlis berkenaan.

"Secara tidak langsung kami sebagai penduduk setempat berpeluang menemui dan mendengar sendiri ucapan daripada Perdana Menteri di majlis berkenaan.

"Majlis itu membuktikan keprihatinan kerajaan Madani terhadap penduduk di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 6:47 PM