FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan Jualan Rahmah di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023.

Menurut KPDN, jualan itu akan berlangsung selama dua hari iaitu pada Sabtu (15 Julai) bermula 2.30 petang sehingga 10 malam, manakala pada Ahad (16 Julai) bermula 8 pagi sehingga 5 petang dengan harga jualan barangan keperluan 10 hingga 30 peratus lebih murah.

Antara vendor yang mengambil bahagian dalam jualan kali ini ialah pasar raya berdekatan kawasan itu dan agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

KPDN memaklumkan antara senarai barangan keperluan harian yang akan dijual sepanjang jualan ini berlangsung ialah ayam, ikan, hasil laut, telur ayam, gula putih bertapis, minyak masak botol, tepung gandum dan beras.

Turut dijual sayur-sayuran dan buah-buahan, barangan penjagaan diri, barangan pembersihan rumah, lampin pakai buang, barangan keperluan sekolah dan lain-lain barang keperluan.

Program Jualan Rahmah adalah program jualan barangan keperluan harian yang terdiri daripada barang makanan dan barang bukan makanan yang dikategorikan sebagai barangan keperluan harian.

Program ini dilaksanakan dengan pembabitan peruncit pasar raya besar, pasar raya, pasar raya mini dan kedai runcit yang digalakkan memberi pengurangan harga barangan semasa program jualan berlangsung antara 10 sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pelbagai program menarik akan disajikan sempena pelancaran itu diikuti Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya, manakala Sambutan Hari Malaysia pada 16 September berlangsung di Kuching, Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 10:24 AM