Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Sempena menjelang Hari Raya Aidilfitri lebih ramai pemain industri sektor peruncitan tempatan menawarkan barang keperluan pada harga lebih murah melalui Jualan Rahmah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, mereka memainkan peranan lebih proaktif dalam menawarkan penjimatan.

"Sekarang ini kita melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri membabitkan 30 barangan.

"Namun terdapat pasar raya yang memperkenalkan pelbagai pakej lain menawarkan harga lebih rendah untuk lebih 50 barangan.

"Hasil tinjauan KPDN, pasar raya besar ini juga menawarkan sehingga 100 barangan pada kadar harga Rahmah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kasih Ramadan dan Sumbangan Agihan Wakalah Zakat Korporat SSM dengan kerjasama Pertubuhan Kami Peduli Besut dan Pasar Raya PXR, Pekan Jabi, Besut, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Pada majlis berkenaan turut diagihkan Wakalah Zakat Korporat SSM berjumlah RM 50,000 kepada 250 penerima asnaf serta bakul Rahmah sumbangan Pasar Raya PXR.

Katanya, KPDN amat menghargai kerjasama diberi pemain sektor peruncitan dalam menjayakan aspirasi kerajaan dalam meringankan kos sara hidup rakyat.

"Kita berharap inisiatif Payung Rahmah ini dapat menjadi sistem terbaik membantu rakyat yang memerlukan pada masa hadapan," katanya.

SALAHUDDIN (dua kanan) bersama Pengarah KPDN Negeri, Saharuddin Mohd Kia (kiri) memantau harga lada pada pelancaran Program Jualan Rahmah  dan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa Tahun 2023 hari ini. FOTO Ghazali Kori.
SALAHUDDIN (dua kanan) bersama Pengarah KPDN Negeri, Saharuddin Mohd Kia (kiri) memantau harga lada pada pelancaran Program Jualan Rahmah dan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa Tahun 2023 hari ini. FOTO Ghazali Kori.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 4:56 PM