Nurul Hidayah Bahaudin dan Suhanna Iskandar


Kuala Lumpur: Enam barangan keperluan harian akan dijual pada harga rendah sempena Program Jualan Rahmah (PJR) di 17 pasar raya terpilih sekitar ibu negara pada 30 Disember ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, enam barangan itu adalah minyak masak lima kilogram (kg), ayam, bihun, telur, sardin dan beras lima kilogram.

"Antara pasar raya yang terbabit dalam program ini adalah Aeon Big Kepong, ST Rosyam Mart Setiawangsa, Giant Desa Petaling, Econsave Scott Garden, NSK Peel Road, OTK Sentul, TMC Bangsar dan Segi Shamelin.

"Setiap jenis barangan itu akan dijual sebanyak 300 unit di semua lokasi berkenaan dengan pembelian dihadkan kepada satu barangan setiap orang.

"Orang ramai yang mahu membuat pembelian perlu mengemukakan kad pengenalan (Mykad) di kaunter bayaran," katanya pada sidang media di Pejabat KPDN Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ariffin berkata, objektif pelaksanaan program itu bagi membolehkan isi rumah termasuk golongan berpendapatan rendah atau B40 membeli barang keperluan asas pada harga murah.

"Jika jualan Rahmah ini mendapat sambutan menggalakkan, ia akan dijadikan sebagai program bulanan dengan jumlah setiap barangan terbabit akan ditingkatkan.

"Dengan adanya program ini, ia diharap dapat membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah terutama golongan B40," katanya.

Mengulas mengenai Skim Harga Maksimum Musim (SHMMP) sempena Krismas 2023 yang berlangsung pada 23 Disember lalu hingga hari ini, beliau berkata, sebanyak 456 premis di ibu negara diperiksa sepanjang tempoh berkenaan.

"Pemeriksaan terhadap 456 premis itu merangkumi pasar awam, pasar raya dan kedai runcit dengan kesemuanya didapati mematuhi peraturan ditetapkan.

"Dalam tempoh itu juga, tiada aduan diterima pihak kami berhubung barang kawalan dijual melebihi harga maksimum atau kekurangan bekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 1:32 PM
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN), Ariffin Samsudin pada sidang media berkaitan isu minyak dan Jualan Rahmah di pejabat KPDN Kuala Lumpur. FOTO FATHIL ASRI
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN), Ariffin Samsudin pada sidang media berkaitan isu minyak dan Jualan Rahmah di pejabat KPDN Kuala Lumpur. FOTO FATHIL ASRI