Amir Abd Hamid


Subang Jaya: Pemborong dan peruncitan halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menawarkan diskaun sehingga 50 peratus untuk pembelian barangan keperluan bayi dan kanak-kanak di rangkaian pasar raya itu.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pemberian diskaun itu sempena Kempen Kasih Sayang Ibu dan Si Manja sebagai menyokong usaha kerajaan di bawah Inisiatif Payung Rahmah.

Menurutnya, sepanjang kempen berlangsung sehingga 8 September depan, Mydin menawarkan pembelian dengan penjimatan kepada semua pelanggan setia khususnya untuk keperluan ibu dan bayi.

"Penjimatan berjumlah sehingga RM600,000 bagi barangan keperluan bayi antaranya susu formula bayi, lampin pakai buang bayi dan barangan lain.

"Ia juga termasuk pemberian pek ekonomi percuma bagi setiap pembelian susu formula bayi terpilih selama empat hari bermula 20 Julai hingga 23 Julai ini.

"Program Jualan Rahmah di semua cawangan Mydin di Semenanjung Malaysia ini menawarkan penjimatan sehingga 50 peratus bagi barangan keperluan bayi seperti pakaian, kerusi sorong, botol susu, barangan mandian dan pelbagai peralatan," katanya.

SALAHUDDIN bersama Wira Ameer Ali Mydin melawat harga barangan bayi selepas melancarkan kempen Payung Rahmah di Pasaraya Mydin Subang Jaya. FOTO Hazreen Mohamad
SALAHUDDIN bersama Wira Ameer Ali Mydin melawat harga barangan bayi selepas melancarkan kempen Payung Rahmah di Pasaraya Mydin Subang Jaya. FOTO Hazreen Mohamad

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah Sempena Kempen Kasih Sayang Ibu dan Si Manja di Mydin USJ, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Katanya, pelanggan yang mengimbas kod QR ketika pembelian juga akan layak mendapatkan diskaun sehingga RM15 bagi pembelian seterusnya.

Sementara itu, Salahuddin berkata, KPDN komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar serta tidak menentu ketika ini

"Pada masa sama, KPDN sentiasa menyokong usaha dilaksanakan sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.

"Di bawah Program Payung Rahmah yang diterajui KPDN, pengguna dijangka dapat berbelanja keperluan harian dengan harga berpatutan, di samping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa ditawarkan oleh peniaga.

"Program Payung Rahmah adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik," katanya.

Katanya, KPDN amat gembira dengan perkembangan ditunjukkan pemain industri peruncitan seperti pengurusan pasar raya Mydin kerana sentiasa menyokong pelaksanaan inisiatif di bawah Program Payung Rahmah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 3:49 PM