GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Doktor wanita kerugian RM100,000 selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 28 tahun dari Temerloh menerima panggilan daripada suspek kelmarin.

Katanya, suspek menyamar sebagai pegawai LHDN dengan memaklumkan mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram sebelum panggilan disambungkan kepada pegawai polis yang mendakwa mangsa mempunyai rekod orang dikehendaki dan perlu disenarai hitamkan.

"Mangsa yang agak panik kemudiannya mengikuti arahan suspek dengan membuka akaun baru dan memberikan nombor kad mesin juruwang automatik (ATM) dan nombor pin kepada suspek.

"Mangsa diminta memindahkan sejumlah RM100,000 ke akaun baru bagi tujuan pembayaran pelepasan daripada senarai orang dikehendaki polis.

"Mangsa juga diminta mengambil gambar secara swafoto dan menghantar kepada suspek setiap dua jam.

"Siasatan mendapati sumber kewangan terbabit adalah hasil wang simpanan mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes terbabit, beliau menasihati orang ramai supaya tidak memberikan butiran peribadi seperti nombor akaun secara sewenang-wenangnya.

"Orang ramai dinasihatkan membuat semakan atas nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan melalui laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi atas talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 4:04 PM