GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Alor Setar: Seorang pesara guru wanita kerugian RM100,000 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket 'Macau Scam' oleh seorang individu yang menyamar sebagai ejen insurans pada 3 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang berusia 60 tahun dan berasal dari Changlun, Kubang Pasu itu menerima panggilan telefon berhubung satu kes kemalangan dan tuntutan insurans yang membabitkan mangsa.

"Mangsa yang menafikan tuntutan insurans berkenaan kemudiannya telah diarahkan untuk membuat laporan ke Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur secara dalam talian. Panggilan itu telah disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat sarjan dari balai polis berkenaan.

"Suspek memberitahu mangsa bahawa dia terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan diminta untuk memberikan 16 digit nombor yang tertera di kad bank serta butiran perbankan dalam talian miliknya untuk tujuan siasatan dan perlu menunggu selama tiga minggu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Elias berkata, mangsa yang berasa curiga membuat semakan dan mendapati wang daripada akaunnya berkurangan dengan berlaku pindahan wang secara berperingkat yang berjumlah RM100,000 daripada akaun miliknya ke akaun milik suspek.

"Suspek telah menakutkan mangsa dan memaklumkan waran tangkap terhadap mangsa telah dikeluarkan dan bagi mengelakkan mangsa ditahan polis, mangsa perlu melaporkan diri kepada suspek menerusi aplikasi WhatsApp setiap dua jam.

"Mangsa yang bimbang kemudiannya telah membuat laporan polis pada 13 Jan lalu di Balai Polis Changlun dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Elias sehubungan itu meminta orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi 'Check Scammers CCID' bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 12:29 PM