SEONG-ung beraksi setahun bersama Perak FC.
SEONG-ung beraksi setahun bersama Perak FC.
BERNAMA

Ipoh: Perak FC telah melunaskan pembayaran keseluruhan gaji bekas penyerang import dari Korea Selatan Seo Seon-ung kepada ejen pemain berkenaan, mengikut syarat dan terma yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Bobie Farid Shamsudin berkata Seon-ung menandatangani kontrak selama setahun bersama The Bos Gaurus dan dalam tempoh itu pihak Perak FC tidak pernah gagal untuk melunaskan bayaran kepada ejen pemain itu.

"The Bos Gaurus tidak mahu terpalit dengan masalah yang berlaku membabitkan pemain berusia 24 tahun itu.

"Penjelasan ini juga bagi menjernihkan kedudukan sebenar dan memberi pemahaman kepada semua pihak berkenaan masalah yang berlaku membabitkan pemain itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 26 April lepas, Seon-ung mendedahkan tidak menerima bayaran gaji selama enam bulan sepertimana dikongsikan dalam hantaran di Instastory peribadinya.

Untuk rekod, Seo menyertai skuad The Bos Gaurus bersama-sama beberapa pemain Korea Selatan lain di bawah kendalian ejen dari negara itu, Leo Jeong.

Bobie Farid berkata gaji diterima Seon-ung adalah sekitar RM12,000 sebulan selain Perak FC turut menanggung kos sewaan kediaman serta kenderaan digunakan sepanjang menyarung jersi pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 6:41 PM