FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Asrol Awang

Kuantan: Seorang guru wanita di Pahang kerugian RM91,400 selepas terpedaya sindiket 'Phone Scam' yang menyamar sebagai pegawai polis, timbalan pendakwa raya dan pegawai insurans.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan mangsa berusia 51 tahun menerima panggilan telefon daripada agen insurans pada 24 Februari lalu.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan membuat tuntutan insurans di Ampang Puteri sebanyak RM68,000.

"Walaupun mangsa menafikannya, suspek menyambungkan panggilan kepada pegawai polis sebelum disambungkan pula kepada timbalan pendakwa raya.

"Mangsa yang terpedaya mengikut segala arahan untuk menukarkan kad bank baharu serta mengemas kini nombor kod pengesahan transaksi (TAC).

"Sebanyak RM91,400 itu daripada akaun Tabung Haji, pinjaman Aeon Kredit dan wang hasil memajak gadai barang kemasnya.

"Semua wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank dikeluarkan oleh suspek dalam tempoh sebulan dari tarikh kemasukan wang terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes terbabit, Ramli menasihati orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak Polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 4:07 PM