Sarah Yasmine
Sarah Yasmine
Najiy Jefri


 

Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menggesa wanita yang didakwa kekasih kepada penyanyi Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine untuk menghentikan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan serta merosakkan imej artis Malaysia. 

Seniman dalam satu kenyataan berkata, kes khalwat membabitkan Aliff dan pelakon tempatan, Ruhainies sedang disiasat oleh pihak berkuasa dan berharap semua pihak menghormati proses terbabit.

"Selaras dengan dasar- dasar Seniman iaitu memperjuang, membela, menjaga kebajikan dan meningkatkan imej artis Malaysia, Seniman beranggapan bahawa individu bernama Sarah Yasmine harus menghentikan segala isu yang membabitkan Aliff dan Ruhainies.

"Selain daripada perkara dan isu yang hangat diperkatakan ketika ini oleh Sarah, Seniman beranggapan ia adalah isu peribadi, maka Seniman menggesa supaya perkara ini diselesaikan secara tertutup bagi mengelak atau membuka aib mana-mana individu lain.

"Seniman mengingatkan agar Sarah untuk menghentikan apa jua tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan dan merosakkan imej artis Malaysia," katanya.

Menurut Seniman,  pihaknya juga berharap agar tiada campur tangan pihak  luar dalam isu membabitkan rumah tangga Aliff dan Bella Astillah. 

"Seniman juga berharap isu rumah tangga antara Aliff dan Bella biarlah mereka selesaikan sendiri tanpa perlu ada orang yang tiada kaitan untuk mencampuri urusan mereka sekali gus boleh menjejaskan proses itu.

"Seniman memandang serius isu yang membabitkan imej artis Malaysia dan untuk mengelakkan industri ini dipandang serong di mata masyarakat dan pihak luar.

"Seniman turut menggesa agar pihak-pihak yang nama mereka terpalit dalam isu ini untuk membuat laporan polis dan laporan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) supaya pihak berkuasa boleh menjalankan siasatan.

"Akhir sekali Seniman mengingatkan semua pihak agar tidak polimikkan isu ini dan hentikan segera segala perbalahan, kontroversi, salah menyalah serta membuka aib mana-mana individu di media sosial bagi menjaga nama baik industri di mata masyarakat," katanya.

Terdahulu industri hiburan digegarkan dengan pendedahan Sarah yang membongkar rahsia Aliff dan Ruhainies termasuk dakwaan mereka bercinta, selain dikatakan menggunakan Aliff untuk menjatuhkan Bella.

Pendedahan dibuat Sarah turut mengheret lebih ramai selebriti termasuk Caprice, Emma Maembong, Chacha Maembong serta pasangan suami isteri, Tom dan Fuad Rahman.

Lebih mengejutkan nama pelakon Meerqeen juga dipetik selepas pelakon itu mengaku hanya mengenalinya sebagai peminat, namun Sarah mengatakan hubungan mereka lebih daripada itu. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 8:52 PM