GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nazri Abu Bakar

Melaka: Digertak penjenayah menyamar sebagai pegawai polis 'Asisten Komisioner Datuk Wazir' menyebabkan seorang kerani kilang kerugian RM68,700 sekelip mata.

Difahamkan mangsa berusia 40-an terperdaya dengan penipuan melalui panggilan telefon itu selepas dituduh terbabit dengan kes penyalahgunaan dadah dan penggubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Supt E Sundra Rajan berkata, kejadian bermula apabila mangsa dihubungi seorang wanita menyamar sebagai pegawai operasi cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya.

Menurutnya, suspek memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan bayaran cukai sebuah syarikat atas namanya berjumlah RM38,690 yang beroperasi di Kuantan, Pahang.

"Mangsa bagaimanapun menafikan perkara itu sebelum panggilan disambungkan kepada 'Sarjan Roslan' yang bertugas di IPK Pahang.

"Sarjan Roslan kemudian meminta butiran kad pengenalan mangsa untuk membuat semakan dan mendakwa mangsa turut terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah dan pengubahan wang haram," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian disambungkan kepada individu mendakwa sebagai 'Asisten Komisioner Datuk Wazir.

"Suspek ketiga ini kemudian mengarahkan mangsa memuat turut aplikasi MyBNM untuk mengisi butiran akuan bank kononnya bagi tujuan siasatan.

"Mangsa yang percaya kemudian memuat turun aplikasi berkenaan dan mengisi segala butiran akaun bank melalui aplikasi itu. 'Datuk Wazir' kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan nombor TAC yang diterimanya," katanya.

Menurutnya, mangsa mula menyedari ditipu selepas menerima pesanan ringkas daripada pihak bank berkenaan pindahan wang dari akaun bank miliknya.

Beliau berkata, berlaku sembilan kali transaksi membabitkan jumlah RM68,700 ke dalam akaun bank pihak ketiga sebelum mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tengkera.

"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu. Hasil semakan polis melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule mendapati nombor telefon digunakan suspek terbabit dalam 14 laporan kes penipuan menggunakan modus operandi sama.

"Kerugian yang dialami secara kumulatif mencecah RM492,950.50 membabitkan 14 mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 5:31 PM