RAMLI, gambar fail. FOTO Bernama
RAMLI, gambar fail. FOTO Bernama
Fahmy A Rosli


Hulu Selangor: Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor daripada Barisan Nasional (BN) yang juga masyarakat Orang Asli tampil memberi penjelasan kepada penduduk Orang Asli Kampung Tun Razak di sini, mengenai hubungan parti itu dengan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, beliau berharap pada hari mengundi nanti mereka tidak lagi keliru hendak undi siapa pada sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu yang baharu.

Mengambil kesempatan bercakap di hadapan lebih 300 masyarakat Orang Asli petang tadi, beliau memberi pesanan supaya masyarakat Orang Asli mengundi calon PH, Pang Sock Tao.

Ini kerana, beliau mahu masyarakat Orang Asli tahu yang sekarang BN dan PH adalah sekutu yang membentuk Kerajaan Perpaduan, bukan lagi seteru politik.

"Nampak tak saya ini dacing (logo BN), nampak tak (Pakatan) Harapan. Biar saya jelaskan kenapa. Saya dari segi data, orang tak payah tipu bab Orang Asli kerana berbalik dalam sejarah politik negara dari 1957 sampai ke Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), undi Orang Asli undi dacing (BN) tak lari 90 peratus.

"Melainkan PRU-14, berlaku penurunan sokongan undi Orang Asli hampir 76 peratus. Bagaimanapun, pada PRU-15, (sokongan Orang Asli) melonjak baik ke lebih 80 peratus.

"Kita lihat di situ sebabnya, Orang Asli di Kuala Kubu Baharu kena undi, pangkah PH. Tuan puan tahu kenapa? Sebab sekarang BN dengan PH adalah kawan. Kita tak mahu tikam kawan.

"PH membantu kita, BN menang di (Dun) Pelangai. Seperti mana Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pernah bercakap, setiakawan itu adalah kena sokong menyokong dan kena pastikan kestabilan politik.

"Jadi saya berharap suku kaum Temuan di Dun Kuala Kubu Bhari ini jangan sesekali lupa dan pastikan kesetiaan itu ada dengan memangkah calon PH nombor dua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 8:05 PM