GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli


DUA wanita membuat laporan polis selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mengakibatkan kerugian mencecah RM110,000 dalam kejadian berasingan 16 Ogos lalu.

Dalam kejadian pertama, seorang pesara guru wanita kerugian RM100,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam selepas ditipu wanita yang menyamar sebagai polis dari Seremban menghubunginya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, wanita berusia 81 tahun itu menerima panggilan itu pada 16 Ogos lalu pada 10 pagi ketika mangsa berada di rumahnya di Tongkang Yard, Alor Setar.

Beliau berkata, mangsa kemudian dimaklumkan mempunyai barang terlarang di pejabat pos di Seremban.

"Pemanggil kemudian menawarkan untuk membantu mangsa daripada ditahan pihak berkuasa dan meminta maklumat akaun bank yang bertujuan untuk membolehkan barangan di pejabat pos itu diserahkan kepadanya.

"Disebabkan bimbang dan takut, mangsa menyerahkan butiran dua akaun bank miliknya berserta nombor Mykad dan nombor pin kepada pemanggil berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, bagaimanapun mangsa dengan bantuan anak angkatnya kemudian ke cawangan bank Islam di Alor Setar dan mendapati wang dalam salah satu akaun bank miliknya berkurangan sebanyak RM100,000.

Beliau berkata, mangsa mendapati wang miliknya sudah dikeluarkan (pindahan) melalui dua kali transaksi sebanyak RM50,000 pada 16 Ogos dan 17 Ogos tanpa pengetahuannya.

Dalam kejadian kedua, seorang suri rumah berusia 51 tahun turut menjadi mangsa penipuan scam dan kerugian RM9,962 akibat dipercaya sindiket berkenaan.

Elias berkata, mangsa yang menetap di Hutan Kampung, Alor Setar menerima panggilan mencurigakan dari seorang lelaki pada 3 petang 16 Ogos lalu.

Beliau berkata, pemanggil mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat yang didaftarkan atas namanya namun dinafikan mangsa.

"Pemanggil meminta mangsa membuat laporan atas talian dan memberikan maklumat akaun bank serta nombor TAC yang diterima.

"Mangsa kemudian mengikut arahan yang diberi pemanggil berkenaan namun terkejut apabila dia mendapati wang berjumlah RM9,962 dikeluarkan tanpa pengetahuannya ketika membuat semakan di Bank Islam Alor Setar pada 17 Ogos lalu," katanya.

Elias berkata, kedua-dua mangsa kemudian membuat laporan polis pada 17 Ogos lalu di Balai Polis Alor Setar dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai terutama kepada pesara supaya tidak mudah percaya dengan panggilan yang diterima terutama yang mengaku dari agensi kerajaan seperti mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak bank.

Beliau berkata, sindiket menyamar menggunakan nama agensi itu dengan meminta maklumat akaun bank bagi tujuan siasatan atau lain tujuan kerana "sindiket jenayah" selalu menggunakan modus operandi seperti itu untuk tujuan penyamaran dan menipu mangsa.

"Pihak polis juga mengingatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ dan tidak mempercayai orang yang menyamar sebagai pihak penguatkuasa.

"Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dan modus operandi jenayah komersil terkini melalui https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP/," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 11:53 PM