GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Asrol Awang

Kuantan: Pesara guru kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya sindiket 'phone scam' yang menyamar sebagai pegawai polis dan pekerja syarikat penghantaran barang, bulan lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, wanita berusia 61 tahun dari Temerloh itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pekerja penghantaran barang pada 1 September lalu.

Katanya, suspek memaklumkan mangsa dikatakan terbabit dalam penghantaran barang terlarang.

"Suspek kemudiannya menyambungkan panggilan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan dikatakan bahawa dana mangsa telah disita dan disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bank Negara.

"Mangsa memindahkan wang ke dalam akaun Pegawai Penyiasat Bank Negara yang diberikan dengan melakukan pemindahan sebanyak lapan kali kepada enam akaun sehingga mengalami kerugian sebanyak RM199,500.

"Sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan dan duit pencen. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, orang ramai yang menerima panggilan meragukan dinasihatkan segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.myterlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 12:43 PM