TANGKAP layar video tular memaparkan insiden kemalangan di Jalan Permatang Damar Laut, Batu Maung sebelum seorang lelaki penunggang motosikal mencederakan pemandu wanita menggunakan topi keledar. FOTO Tular
TANGKAP layar video tular memaparkan insiden kemalangan di Jalan Permatang Damar Laut, Batu Maung sebelum seorang lelaki penunggang motosikal mencederakan pemandu wanita menggunakan topi keledar. FOTO Tular
Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Tidak puas hati menyebabkan penunggang motosikal memukul pemandu wanita menggunakan topi keledar dalam insiden tular di Jalan Permatang Damar Laut, Batu Maung di sini, semalam.

Video tular kejadian itu yang dimuat naik di Twitter 'Nan Manjoi8715 kemudian dikesan polis pada 9.13 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan awal mendapati suspek terdahulu tidak berpuas hati dengan pemandu kereta yang menyebabkan kemalangan.

Katanya, ia mendorong lelaki itu mencederakan wanita terbabit dengan topi keledar dan dia sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerusi talian 04-8662222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 8:52 PM