KEMALANGAN motosikal menyebabkan seorang penunggang maut dan seorang lagi cedera. FOTO ihsan pembaca
KEMALANGAN motosikal menyebabkan seorang penunggang maut dan seorang lagi cedera. FOTO ihsan pembaca
Rudy Syareme Sheriffudin


LELAKI maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh motosikal lain di Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas, semalam.

Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa berusia 28 tahun menunggang motosikal seorang diri dari arah Bayan Lepas ke Jalan Dato Ismail Hashim.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, ketika mangsa melalui jalan berkenaan berhampiran klinik Bayan Lepas datang motosikal lain yang ditunggang lelaki berusia 22 tahun dari arah bertentangan.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan manakala seorang lagi penunggang turut cedera.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.

Anbalagan berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan melulu.

“Sekiranya disabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun atau 10 tahun atau denda RM5,000 atau RM20,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkan maklumat ke Bahagian Siasatan Trafik, Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Barat Daya di talian 04-8662222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 6:31 PM