MANGSA maut di ulang tahun kelahiran selepas motosikalnya bertembung dengan motosikal lain dalam perjalanan ke tempat kerja. FOTO Ihsan PDRM
MANGSA maut di ulang tahun kelahiran selepas motosikalnya bertembung dengan motosikal lain dalam perjalanan ke tempat kerja. FOTO Ihsan PDRM
Rudy Syareme Sheriffudin


LELAKI yang menyambut ulang tahun kelahiran ke 28 hari ini, maut selepas motosikalnya bertembung dengan motosikal lain di Jalan Sungai Pinang, Teluk Bahang, 7.40 pagi hari ini.

Mangsa, Syarul Nizam Hassan dari Sungai Pinang, Balik Pulau yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Batu Feringghi dari arah Sungai Pinang menghala ke Teluk Bahang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, seorang lagi penunggang motosikal berusia 29 tahun dari arah Teluk Bahang menghala ke Sungai Pinang dan bekerja sebagai Inspektor Kesihatan Air Puteh, Balik Pulau.

"Siasatan lanjut mendapati mereka dalam perjalanan ke tempat kerja masing-masing sebelum berlanggar antara satu sama lain di tempat kejadian.

"Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Balik Pulau untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut, disahkan meninggal dunia pada 9 pagi semasa menerima rawatan.

"Punca kematian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan melulu sehingga menyebabkan kematian.

"Sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun atau 10 tahun atau denda RM5,000 atau RM20,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Barat Daya di talian 04-8662222 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 4:39 PM