FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Bayan Lepas: Seorang lelaki warga Nepal maut selepas dilanggar van ketika menunggang basikal untuk menyeberang jalan dalam kejadian berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, 6.45 pagi tadi.

Mangsa berusia 20-an itu dilanggar van yang gagal mengelaknya ketika sedang melintas jalan menyebabkan lelaki itu tercampak ke atas jalan.

Lelaki itu sekali lagi dilanggar motosikal juga gagal mengelaknya menyebabkan mangsa yang parah disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, penunggang motosikal berusia 21 tahun hanya cedera ringan dan pemandu van berkenaan melarikan diri sejurus kejadian.

"Susulan kejadian itu kami kini sedang mengesan pemandu van berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.

"Siasatan berhubung punca sebenar kemalangan juga sedang dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Balik Pulau (HBP) untuk bedah siasat," katanya.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar dapat menghubungi Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Barat Daya di talian 04-8662222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 3:51 PM