ROBERT Kuok.
ROBERT Kuok.
Sharen Kaur


Kuala Lumpur: Tan Sri Robert Kuok kekal sebagai orang terkaya Malaysia dengan nilai kekayaan lebih AS$11.8 bilion (kira-kira RM54.40 bilion).

Kuok yang memperoleh keuntungan terbesar tahun ini dinobatkan sebagai orang terkaya Malaysia dalam Senarai 50 Individu Terkaya Malaysia, Forbes 2023.

Kuok menduduki tempat teratas selama lebih suku abad dan menjadi salah satu daripada hanya dua orang dalam senarai itu dengan kekayaan lebih AS$11.8 bilion.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hong Leong Malaysia, Tan Sri Quek Leng Chan, menduduki tempat kedua dengan nilai kekayaan AS$10.2 bilion (kira-kira RM47.03 bilion).

Selain itu, taikun logam, Koon Poh Keong dan adik-beradiknya kekal pada kedudukan ketiga dalam senarai berkenaan.

Gabungan kekayaan mereka dianggarkan bernilai AS$5.8 bilion (kira-kira RM26.74 bilion), susut hampir tujuh peratus daripada AS$6.2 bilion (kira-kira RM28.59 bilion) tahun lalu.

Penyusutan itu selaras dengan kejatuhan saham syarikat mereka, Press Metal Aluminium Holdings, pengeluar aluminium bersepadu terbesar di Asia Tenggara di tengah-tengah peningkatan kos bahan mentah dan pengangkutan yang lebih tinggi.

Ananda Krishnan dari Maxis menduduki tempat keempat dengan nilai bersih kekayaan meningkat daripada AS$400 juta (kira-kira RM1.84 bilion), kepada AS$5.4 bilion (kira-kira RM24.90 bilion).

Selain itu, gandingan bapa dan anak, Yaw Teck Seng dan Chee Ming, yang mengusahakan syarikat gergasi kayu, Samling, kedudukan mereka melonjak kepada 16 berbanding 32 tahun lalu.

Lonjakan itu dipengaruhi faktor kekayaan mereka meningkat lebih dua kali ganda kepada AS$1.25 bilion (kira-kira RM5.76 bilion), berdasarkan maklumat baharu mengenai aset persendirian mereka.

Bekas guru matematik, Chia Song Kun berada di kedudukan ke- 10 dengan nilai kekayaan bersih AS$1.8 bilion (kira-kira RM8.30 bilion).

Pengerusi Eksekutif Syarikat makanan laut, QL Resources, kembali berada dalam kedudukan dalam senarai itu.

Ia selepas kenaikan hampir 20 peratus saham syarikat dan kemasukan kepentingan keluarganya yang lebih luas.

Sementara itu, Forbes dalam satu kenyataan berkata, gabungan kekayaan taikun dalam senarai Forbes 2023 itu meningkat kepada AS$81.6 bilion (RM376.22 bilion) pada 2022 berbanding AS$80.5 bilion (RM371.15 bilion) pada 2021.

Di sebalik pasca pemulihan Covid-19 negara, katanya pasaran saham merosot lapan peratus sejak kekayaan sebelum ini direkodkan dan ringgit menurun kira-kira dua peratus.

"Selepas meningkat 8.7 peratus pada 2022 berikutan pemulihan dalam perbelanjaan pengguna domestik, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar lebih sederhana tahun ini.

"Secara keseluruhan, 19 kekayaan meningkat dan hampir separuh turun dalam senarai Forbes.

"Nilai minimum bersih untuk membuat senarai itu ialah AS$315 juta (kira-kira RM1.45 bilion), meningkat berbanding AS$255 juta (kira-kira RM1.17 bilion) pada 2022.

Senarai 10 individu terkaya Malaysia

1. Tan Sri Robert Kuok: AS$11.8 billion

2. Tan Sri Quek Leng Chan: AS$10.2 billion

3. Koon Poh Keong dan adik beradik: AS$5.8 billion

4. Ananda Krishnan: AS$5.4 billion

5. Adik beradik Teh : AS$5.2 billion

6. Lee Yeow Chor dan Yeow Seng: AS$4.6 billion

7. Dr Chen Lip Keong: AS$2.8 billion

8. Tan Sri Lim Kok Thay: AS$2.3 billion

9. Tan Yu Yeh & Yu Wei: AS$1.9 billion

10. Chia Song Kun: AS$1.8 billion

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 12:43 PM