SYED Mokhtar AlBukhary. FOTO Arkib NSTP
SYED Mokhtar AlBukhary. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary tersenarai 16 bilionair paling kaya di negara ini dengan pendapatan AS$1.2 bilion (RM5 bilion).

Senarai individu paling kaya itu dikeluarkan Forbes 2021, hari ini dengan hartawan Bumiputera itu di kedudukan 2,378 dunia.

Selain itu, pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan yang mempunyai nilai bersih AS$9.7 bilion (RM40 bilion) kini diumumkan bilionair paling kaya di Malaysia selepas Forbes menyenaraikan 'raja gula', Robert Kuok sebagai warga Hong Kong.

Ini diikuti T Ananda Krishnan dan pengasas Public Bank Bhd, Tan Sri Teh Hong Piow.

Turut tersenarai Pengerusi Hartalega Holdings Bhd, Kuan Kam Hon dan keluarganya dengan pendapatan AS$ 3.9 bilion (RM16 bilion) diikuti pengasas Top Glove Corp Bhd, Tan Sri Dr Lim Wee Chai memperoleh AS$ 3.5 bilion (RM14.47 bilion) dan Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay.

Senarai bilionair Forbes ke-35 turut menamakan 2,755 individu, termasuk 493 pendatang baharu ketika dunia berdepan cabaran ekonomi berikutan pandemik Covid-19.

Antara muka baharu yang memasuki carta adalah Pengasas MR DIY Group (M) Bhd, Tan Yu Yeh dan adiknya, Tan Yu Wei dengan nilai kekayaan bersih Yu Yeh dianggarkan kira-kira AS$1.8 bilion (RM7.4 bilion) manakala Yu Wei pula dianggarkan AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

Adik beradik itu menyertai Pengerusi Eksekutif Westports Holdings Bhd, Tan Sri G Gnanalingam dan pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Greatech Technology Bhd, Tan Eng Kee.

Senarai bilionair Forbes ke-35 menganggarkan nilai kekayaan bersih Gnanalingam kira-kira AS$1.7 bilion (RM7 bilion), manakala Eng Kee, yang mengasaskan syarikat pengeluar peralatan automasi kilang di Pulau Pinang mempunyai kekayaan bersih AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

Di peringkat global, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon, Jeff Bezos kekal mengungguli senarai bilionair terkaya dunia buat tahun keempat berturut-turut.

Ini diikuti CEO Tesla, Elon Musk dan CEO LVMH Moët Hennessy iaitu pemilik jenama mewah LV, Bernard Arnault.

Melengkapi senarai lima bilionair terkaya dunia adalah Bill Gates dan Mark Zuckerberg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 5:52 PM