Robert Kuok memiliki nilai kekayaan bersih dianggarkan berjumlah RM52.32 bilion.
Robert Kuok memiliki nilai kekayaan bersih dianggarkan berjumlah RM52.32 bilion.
Nasuha Badrul Huzaini


AHLI perniagaan terkemuka, Robert Kuok muncul sebagai individu ke-104 paling kaya di dunia, namun turun daripada tempat ke-96 tahun lalu, demikian menurut Forbes.

Bagaimanapun, beliau kekal menjadi individu paling kaya di negara ini dengan nilai kekayaan bersihnya kini dianggarkan berjumlah AS$12.8 bilion (RM52.32 bilion), susut daripada AS$14.5 bilion (RM59.27 bilion) tahun sebelumnya.

Penurunan nilai kekayaan Kuok menjejaki aliran global yang menyaksikan pengurangan nilai kekayaan di atas kertas hartawan lain.

Menurut Forbes, sehingga kini terdapat sejumlah 2,153 hartawan dan jumlah itu lebih rendah berbanding 2018.

“Apabila digabungkan, jumlah nilai kekayaan hartawan terbabit adalah sebanyak AS$8.7 trilion (RM35.56 trilion), susut AS$400 bilion (RM1.635 trilion) daripada tahun lalu.

“Secara keseluruhan, sebanyak 11 peratus atau 247 individu yang tersenarai tahun lalu tidak tersenarai kali ini dan ia adalah jumlah terbesar sejak 2009 yang turut menyaksikan kemuncak krisis kewangan global pada waktu itu,” kata Forbes dalam satu kenyataan mengumumkan senarai terbaharu individu paling kaya di dunia, hari ini.

Pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan turut tersenarai sebagai individu kedua paling kaya di Malaysia dengan nilai kekayaan juga berjumlah AS$9.4 bilion (RM38.42 bilion).

Turut berada dalam senarai ialah Tan Sri Teh Hong Piow (AS$6.7 billion atau RM27.39 bilion); T Ananda Krishnan (AS$6.2 bilion atau RM25.34 bilion); Tan Sri Lee Shin Cheng (AS$5.4 bilion atau RM22.07 bilion), Tan Sri Chen Lip Keong (AS$5 bilion atau RM20.44 bilion) dan Tan Sri Lim Kok Thay (AS$4.4 bilion atau RM17.98 bilion).

Ahli perniagaan Bumiputera terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary turut tersenarai sebagai antara 10 individu paling kaya di negara ini, berkongsi kedudukan dengan Tan Sri Koon Poh Keong dengan nilai kekayaan sebanyak AS$1.7 bilion atau RM6.94 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 2:14 PM