GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Seorang wanita kerugian sebanyak RM180,000 selepas terpedaya dengan kenalan lama yang menawarkan skim pelaburan wang dan emas, tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat wanita tempatan berusia 43 tahun itu yang mendakwa ditipu sindiket penipuan menawarkan skim pelaburan wang dan emas.

Beliau berkata, kejadian bermula pada Ogos 2022 apabila seorang lelaki tempatan yang juga kenalan lama mangsa menawarkan skim yang menjanjikan pulangan sebanyak lima peratus pada setiap minggu atas jumlah wang tunai atau nilai emas yang dilaburkan.

"Mangsa yang berminat dengan tawaran itu melaburkan wang tunai ke dalam akaun kenalannya itu antara Ogos 2022 hingga Oktober 2022.

"Mangsa turut melaburkan barang kemas pelbagai bentuk serta sebuah kereta yang diserahkan kepada lelaki berkenaan.

"Nilai keseluruhan pelaburan dibuat mangsa dianggarkan sebanyak RM260,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, antara Ogos 2022 hingga Februari lalu, mangsa ada menerima beberapa kali pulangan keseluruhannya berjumlah RM80,000, namun selepas itu tiada sebarang pulangan diterima mangsa.

Katanya, mangsa mendakwa kenalan lelakinya itu memberikan pelbagai alasan sebelum terus gagal dihubungi.

"Mangsa percaya dirinya ditipu dan mengalami kerugian kira-kira RM180,000," katanya.

Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Siasatan juga akan meliputi pembabitan keldai akaun sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 1:36 PM