GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Padah mengejar keuntungan lumayan secara mudah, tiga individu kerugian RM120,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan emas dalam talian.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa berusia 25 hingga 50 tahun itu terpedaya dengan janji manis sindiket pelaburan terbabit yang turut menawarkan pakej murah.

Beliau berkata, skim pelaburan emas di 'Gold Hub International.com' kononnya menawarkan pulangan antara tiga hingga 11 peratus dalam tempoh tiga hari.

Menurutnya, bagi menarik perhatian ramai, pakej murah serendah RM300 turut ditawarkan.

"Mangsa dipercayai tertarik dengan pakej murah dan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

"Mangsa melakukan beberapa transaksi ke akaun sindiket dengan jumlah keseluruhan RM120,000. Mangsa dikatakan terpengaruh dengan skim itu menerusi hebahan daripada kenalan serta laman web tertentu," katanya.

Mohd Sohaimi berkata, tiga mangsa tampil membuat laporan berkaitan penipuan itu semalam, selepas menyedari mereka diperdaya.

Beliau berkata, pihaknya percaya ramai mangsa terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihati supaya tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi dan tidak munasabah.

Semakan boleh dibuat menerusi laman web rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum melabur dengan mana-mana syarikat mahupun individu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 2:47 PM